KUCHING: Pengiktirafan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap peningkatan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen sebagai agenda nasional disifatkan penting dalam memelihara keseimbangan asal pembentukan Malaysia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau menyambut baik pendirian berkenaan dan berharap semua pemimpin melihat isu tersebut sebagai kepentingan nasional.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Festival Borneo Jazz di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, prinsip berkenaan berkait dengan asas pembentukan Malaysia serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) dan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, pada 1963, Tanah Melayu mempunyai 104 daripada 159 kerusi Parlimen, manakala Sarawak, Sabah dan Singapura masing-masing mempunyai 24, 16 dan 15 kerusi.
“Ini yang telah dipersetujui oleh para pendahulu kita dan mereka yang berunding untuk pembentukan Malaysia.
“Bagaimanapun, keseimbangan politik berubah pada 1965 apabila Singapura keluar dari Malaysia, menyebabkan 15 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada Singapura tidak lagi dikongsi bersama Sabah dan Sarawak,” katanya.
Jelasnya, perubahan itu menyebabkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak berkurangan berbanding kedudukan ketika pembentukan Malaysia.
Mengulas kepentingan nisbah berkenaan, Abdul Karim berkata, perwakilan yang seimbang penting kerana beberapa pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Secara hipotetikal, mereka boleh mengambil hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebab itulah kita mahu satu pertiga tersebut terus dikekalkan,” tegasnya.

