Saya pasti anda bimbang! Saya juga bimbang di mana tempat paling selamat untuk pergi

SIBU: Tiada tanda penurunan jumlah positif Covid-19 yang dijangka dicatatkan oleh Sibu hari ini.
Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh dalam ciapan di laman sosialnya sebentar tadi.
“Semalam terdapat 94 kes positif dan 88 daripadanya adalah Kluster Pasai.
“Hari ini, jumlahnya tidak jauh beza dengan bilangan yang hampir sama seperti yang dijangkakan,” kata beliau.
Ting memberitahu, yang menjadi perhatian kerajaan sekarang lokasi yang dikunjungi pesakit positif Covid-19 ini sepanjang tempoh tersebut.
“Saya pasti anda bimbang dan tertanya-tanya di mana tempat yang selamat untuk pergi.
“Terdapat permintaan pihak berkuasa untuk menutup premis yang terlibat ini selama tujuh hari.
“Saya menggesa semua premis ini untuk melakukan kerja-kerja pensanitasi dengan segera dan semua kakitangan harus menjalankan pemeriksaan Covid-19,” ujar beliau.
Sementara itu, bercakap mengenai Kluster Pasai, Ting memberitahu, hanya mereka yang bermalam di rumah panjang itu ketika menghadiri upacara kematian di Rumah Langi Ambau, Pasai Siong didapati banyak yang positif sedangkan mereka yang hanya menghadiri upacara pengebumian yang sebahagian besarnya tidak terjejas.
“Oleh itu, bagi anda yang bimbang untuk mengunjungi tempat yang terjejas, ingat satu perkara, jangan masuk ke mana-mana premis/kedai yang sesak.
“Kemudian bersihkan tangan anda setelah mengunjungi tempat berkenaan di dalam kenderaan anda.
“Ingatlah bahawa prosedur operasi standard (SOP) adalah satu-satunya mekanisme perlindungan diri terhadap Covid-19 ini, sila praktikkannya dengan kerap,” tambah beliau.