Saya setuju tapi…

DARO: Usul pindaan undang-undang menurunkan had umur belia yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun perlu diteliti secara mendalam sebelum dilaksanakan demi menjaga kepentingan golongan muda itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, usaha itu perlu dilihat sebagai mengiktiraf dan memperkasakan peranan belia dalam proses pembentukan dan pembangunan negara.

Malah katanya, majoriti belia yang berumur 18 tahun dianggap sudah dewasa dan mampu membuat keputusan sendiri.

“Secara prinsipnya saya tidak halangan dan menyokong tetapi jangan manipulasikan golongan ini untuk menjayakan agenda tertentu terutama politik.

Safiee menyampaikan sijil kepada salah seorang wakil peserta.

“Kita tidak mahu menjejaskan tumpuan anak muda untuk membina masa depan terutama pelajar sekolah. Pada peringkat ini, kebanyakan mereka dalam Tingkatan Lima ke atas, yang sepatutnya memberi tumpuan kepada peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) menyarankan belia agar bersikap matang di atas pindaan itu selain memanfaatkan peluang berkenaan dengan sebaik-baiknya.

Sebagai pemimpin pelapis masa depan negara katanya, belia memikul tanggungjawab besar kerana mereka mampu membangunkan negara ke arah yang lebih baik.

“Bagaimana pun, mana-mana usaha untuk membawa agenda politik ke sekolah perlu dilarang sama sekali supaya tidak menjejaskan sistem pengajaran dan pembelajaran golongan muda ini,” katanya.

Safiee(duduk tengah) bersama peserta Program Transformasi Belia, Keluarga Ku Sayang Kawan Ku Kenang (KKSKKK) di Dewan SMK TPDPH Normah Daro.

Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan menyempurnakan majlis penangguhan rasmi Program Transformasi Belia, Keluarga Ku Sayang Kawan Ku Kenang (KKSKKK) di sini, baru-baru ini.

Program yang disertai lebih 100 belia Daro itu dianjurkan Saberkas Cawangan Daro dengan kerjasama Sekolh Menengah Kebangsaan (SMK) Toh Puan Datuk Patinggi Hajah (TPDPH) Normah.

Penganjurannya bertujuan membantu mempertingkatkan jati diri, memahami erti menyayangi kawan dan keluarga, di samping membantu memupuk semangat perpaduan serta semangat berpasukan yang mantap dalam kalangan belia.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program seperti Sesi Sembang Belia bersama pemimpin, aktiviti berkumpulan, ceramah dan banyak lagi.