KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan kontraktor projek pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong diberi petunjuk prestasi utama (KPI) sifar gangguan ke atas bekalan air, elektrik serta perkhidmatan telekomunikasi sepanjang tempoh pembinaan.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketetapan itu bagi mengelakkan kejadian seperti paip pecah, bekalan elektrik terputus atau perkhidmatan telekomunikasi terganggu akibat kerja pembinaan.
Menurutnya, semua pihak perlu memberi perhatian serius dengan kemajuan kerja, penyelarasan utiliti, keselamatan tapak dan pengurusan trafik sepanjang projek dilaksanakan.
“Saya beri JKR dan kontraktor KPI sifar gangguan ke atas perkhidmatan utiliti. Saya tidak mahu dengar paip pecah atau bekalan elektrik terputus.
“Itu menjadi tugas pertama anda,” katanya pada majlis perasmian projek pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di sini, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, penyelarasan dan kerjasama rapat antara semua agensi utiliti penting bagi mengenal pasti lokasi kemudahan sedia ada sebelum kerja pembinaan dimulakan di sesuatu bahagian.
“Pendekatan sama pernah digunakan ketika projek Jalan Matang apabila JKR, kontraktor dan agensi utiliti turun bersama-sama ke tapak untuk mengenal pasti kedudukan kabel elektrik bawah tanah serta infrastruktur lain.
“Apabila semua pihak turun bersama-sama dan mengenal pasti utiliti lebih awal, kita dapat mengelakkan gangguan yang tidak sepatutnya berlaku kepada rakyat,” ujarnya.
Sementara itu katanya, kemajuan fizikal projek kini mencapai 12.03 peratus berbanding 3.6 peratus mengikut jadual, menunjukkan kerja pembinaan mendahului perancangan.
“Saya berharap prestasi ini dapat dikekalkan dan projek disiapkan secepat mungkin supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat,” katanya.
Projek bernilai RM207.88 juta yang dibiayai Kerajaan Sarawak itu melibatkan pembinaan jalan raya berkembar sepanjang kira-kira 5.6 kilometer dari Jalan Batu Kawa-Matang berhampiran Sungai Moyan ke Jalan Stephen Yong.
Projek selama 36 bulan itu bermula pada 11 Februari lalu dan dijadualkan siap pada 10 Februari 2029 merangkumi pembinaan dua jambatan, masing-masing sepanjang 74.8 meter merentasi Sungai Moyan dan 280.8 meter merentasi Sungai Sarawak Kiri.
Dalam pada itu katanya, pertumbuhan pesat Kuching sebagai pusat bandar turut meningkatkan jumlah kenderaan dan menyumbang kepada kesesakan di beberapa laluan utama.
“JKR Sarawak menjalankan 60 penilaian awal trafik di sekitar Kuching untuk mengenal pasti lokasi kesesakan serta bentuk penambahbaikan yang diperlukan.
“Antara projek dilaksanakan bagi memperbaiki aliran trafik ialah naik taraf lima bulatan di Lebuh Raya Kuching-Samarahan, Jambatan Sejingkat, jalan akses Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching serta pelebaran Jalan Stutong daripada dua kepada empat lorong,” jelasnya.
Tambahnya, JKR Sarawak juga sedang melaksanakan kajian pemodelan trafik bersepadu bagi Kuching dan kawasan sekitarnya untuk mengenal pasti penyelesaian jangka panjang terhadap kesesakan.
“Matlamat kita ialah memastikan semua projek ini benar-benar mengurangkan kesesakan dan memberi manfaat nyata kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Katanya, kerja menaik taraf Jalan Stutong bermula pada Oktober dengan penambahbaikan seterusnya dirancang di Jalan Tun Jugah dan Jalan Song.
Tambahnya, cadangan pembinaan jambatan di Batu Lapan sepanjang Jalan Kuching-Serian pula sudah menerima pembiayaan Kerajaan Persekutuan dan kini berada pada peringkat tender.
TAMAT//




