KUCHING: “Saya tidak tahu,” kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari terhadap spekulasi tentang rombakan kabinet negeri dalam masa terdekat.
Beliau juga enggan mengulas perkara itu, walaupun sudah ada bayangan dibuat beberapa anggota kabinet negeri serta turut dilaporkan sebuah akhbar nasional berbahasa Cina.
“Bagaimana saya hendak jelaskan, saya tidak tahu. Tanya merekalah.
“Jangan kata bagaimana Ketua Menteri boleh tidak tahu, kerana saya memang tidak tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersama isteri, Datin Patinggi Juma’ani Tuanku Bujang mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammad Abu Bakar Marzuki di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing dilaporkan menyuarakan harapan agar orang yang betul diletakkan untuk mengisi kedudukan dalam rombakan kabinet negeri kelak.
Katanya ia kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) menempatkan ‘musuh’ dalam gabungan itu, tanpa menamakannya.
Manakala Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian juga memberi bayangan bahawa rombakan kabinet negeri mungkin dibuat.
Beliau semasa ditemu bual ketika mengunjungi Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) berkata Abang Johari bakal mengumumkan ‘perkara besar’ selepas Hari Raya ini.