Sayangkan keluarga, rakan dan Sarawak, jangan ingkar arahan kuarantin – Dr Sim

KUCHING: Dimohon bertanggungjawab serius sekiranya anda sayangkan keluarga, rakan dan Sarawak, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Dalam satu hantaran Facebook, Kui Hian berasa kecewa atas sikap tidak bertanggungjawab individu yang ingkar arahan kuarantin.

“Kecewa atas sikap beberapa individu yang meletakkan nyawa keluarga, rakan, komuniti dan Sarawak dalam risiko gelombang ke-dua wabak Covid-19.

“Tiada pusat kuarantin, hotel, tiada gelang tangan, tiada penguatkuasaan- Polis, inspektor kesihatan, tiada penjara atau denda yang dapat menguatkuasakan undang-undang, jika anda secara individu dan peribadi tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Kui Hian juga berterima kasih kepada orang ramai yang berwaspada, menjadi mata dan telinga dengan membantu melaporkan kepada Polis dan inspektor kesihatan agar tindakan segera dapat diambil.

Terdahulu, seorang individu yang masih menjalani tempoh kuarantin telah memuatnaik gambarnya menikmati mi di sebuah kedai makan di Sibu ke halaman Facebook miliknya.

Individu itu juga bertindak menanggalkan gelang tangan tempoh kuarantin dan mengingkari arahan kuarantin.

Setelah hantarannya ditularkan di beberapa laman Facebook, individu tersebut telah memohon maaf dan menyerah diri di Balai Polis Sibujaya pagi tadi.

Suara Sarawak