KUCHING: Keceriaan jelas terpancar di wajah pemenang pingat gangsa temasya Sukan SEA Thailand 2025, Wong Ling Ching, apabila beliau menerima insentif berjumlah RM5,000 daripada Persatuan Badminton Sarawak (SBA).
Berita gembira tersebut diumumkan oleh Presiden SBA, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar, ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara SBA dan Yonex-Sunrise di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini, petang tadi.
Beliau berkata kejayaan Wong di Sukan SEA Thailand 2025, ditambah pula dengan pemilihannya ke dalam pasukan kebangsaan, sekali gus menunjukkan bahawa pemain Sarawak mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi apabila diberikan sokongan dan pendedahan secara konsisten.
“Sejak sesi persatuan kami ini, kami juga telah menambah baik tadbir urus, sekali gus membina persatuan yang lebih dinamik, selesa dan berpandangan jauh,” tegas beliau.
Selain pencapaian Wong, Wan Lizozman berkata pemain badminton muda Sarawak turut menunjukkan pencapaian yang membanggakan ketika menyertai pertandingan baru-baru ini.
Antaranya termasuk kejayaan meraih pingat di Sukan Borneo 2025 serta peningkatan kedudukan di Kejohanan Antara Negeri Bawah 12 dan Bawah 16 Kebangsaan.
Menerajui prestasi tersebut, pasukan lelaki bawah 12 tahun menduduki tempat keempat keseluruhan, manakala kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan bawah 16 tahun menduduki tempat kelima.
Wan Lizozman berkata pencapaian itu sejajar dengan pelan tindakan SMASH 2030 SBA yang baru diumumkan, yang memberi tumpuan kepada pembangunan akar umbi, latihan berprestasi tinggi, peningkatan kejurulatihan, persaingan yang dipergiatkan serta perkongsian strategik.
Di samping itu, beliau berkata kerjasama antara SBA dan Yonex-Sunrise diharap mampu mengukuhkan lagi usaha badan induk berkenaan ke arah menyediakan pemain dengan peralatan bertaraf dunia serta memperkukuh profesionalisme dalam persatuan.



