KUCHING: Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) bakal menganjurkan acara tahunan, Hari Biodiversiti SBC 2025, bersempena sambutan Hari Antarabangsa Biodiversiti yang disambut pada 22 Mei setiap tahun.
Acara tersebut akan berlangsung pada 24 Mei 2025, bertempat di KM20, Jalan Borneo Heights, Semenggoh, dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Masuk adalah percuma dan terbuka kepada semua.
Tema Hari Antarabangsa Biodiversiti tahun ini ialah “Harmoni dengan Alam Semula Jadi dan Pembangunan Lestari”, selaras dengan Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pembangunan Lestari serta matlamat Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SBC, Datuk Dr Yeo Tiong Chia, tema ini relevan dengan situasi di Sarawak yang baru melancarkan Dasar Biodiversiti Negeri, menggabungkan biodiversiti dalam strategi pembangunan merentas semua sektor.
“Bagi kami di SBC, tradisi bertemu sains. Tema antarabangsa ini juga mengiktiraf keharmonian penting antara usaha kami mendokumentasikan Pengetahuan Tradisional (TK) dan penyelidikan saintifik yang dijalankan di SBC,” katanya.
Hari Biodiversiti SBC 2025 bakal menampilkan aktiviti seperti permainan sains, pameran pengetahuan tradisional, trekking hutan berpandu, serta pameran oleh pelbagai agensi kerajaan dan komuniti peribumi.
Acara ini juga menyediakan platform kepada orang awam, pelajar, institusi pengajian tinggi, dan pusat penyelidikan untuk berkongsi pengetahuan berkaitan biodiversiti, sains, serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) di SBC.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi SBC di www.sbc.org.my atau laman Facebook rasmi Sarawak Biodiversity Centre.

