KUCHING: Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) akan menganjurkan webinar Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) pada 16 Julai ini.
Menurut kenyataan SBC hari ini, webinar itu bertujuan mengetengahkan penemuan penyelidik yang memperoleh permit R&D di bawah Peraturan Biodiversiti Sarawak 2016, selain menggalakkan kerjasama dan perkongsian ilmu dalam kalangan komuniti saintifik.
“Penceramah pertama ialah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Ir Dr Marini Sawawi – membentangkan kajiannya bertajuk Penghasilan Garam Apong: Pengoptimuman Proses, Kandungan dan Analisis Antioksidan.
“Sesi diteruskan dengan pembentangan oleh Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak, Suzy Rini Gindi bertajuk Pembangunan Bar Nutrisi Berasaskan Sagu: Formulasi, Penilaian Deria, Pencirian dan Jangka Hayat,” katanya.
Sebagai penutup, katanya Dr Muammar Mansor dari University of Tuebingen, Jerman juga akan membentangkan kajian bertajuk “Tasik Biru di Bau, Malaysia, sebagai Habitat Moden bagi Lautan Purba”.
Jelas SBC, pendaftaran adalah percuma dan boleh dilakukan menerusi pautan http://qrco.de/bg6btD.
Selain itu katanya, orang ramai boleh menonton secara langsung di Facebook SBC, www.facebook.com/sarawak.biodiversity.centre dan sesi soal jawab secara langsung turut diadakan.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Constance Vanessa Victor (constance@sbc.org.my) atau Dr Mohd Farith Kota (farith@sbc.org.my) di talian 082-610610.

