KUCHING: Festival Seni dan Kesasteraan Kanak-Kanak Sarawak (SCALF) 2026 berjaya menarik hampir 8,000 pengunjung dalam tempoh dua hari, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap platform pembelajaran dan kreativiti kanak-kanak di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli, berkata festival berkenaan turut menampilkan lebih 100 aktiviti menerusi 16 ruang aktiviti yang disediakan sepanjang penganjurannya.
“Selama dua hari, hampir 8,000 orang pengunjung telah hadir ke Sarawak Children’s Arts and Literature Festival 2026, manakala daripada 16 ruang aktiviti yang dilaksanakan, jumlah keseluruhan aktiviti melebihi 100,” katanya pada Majlis Perasmian SCALF 2026 di Pustaka Negeri Sarawak di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen.
Beliau berkata, kejayaan SCALF 2026 turut disokong penglibatan 24 agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan kolaborasi.
Katanya, penyertaan pelbagai pihak berkenaan membawa perspektif, kepakaran dan pengalaman berbeza yang menyumbang kepada kejayaan festival.
“Festival sebesar dan seluas ini tidak boleh dicapai oleh Pustaka sahaja, sebaliknya ia merupakan usaha bersama komuniti dan ramai rakan kerjasama,” katanya.
Japri turut merakamkan penghargaan kepada 43 sukarelawan daripada UiTM, Swinburne University of Technology, SIDMA, GATS, UniKL, Polymech dan SMK Wira Penrissen yang membantu memastikan kelancaran festival.
Menurutnya, sumbangan sukarelawan bukan sahaja membantu kelancaran acara di belakang tabir, malah mewujudkan suasana mesra dan selesa untuk kanak-kanak serta keluarga yang hadir.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara elemen istimewa SCALF 2026 ialah aktiviti penceritaan yang menghimpunkan 12 pencerita tempatan dan antarabangsa dari Malaysia, Australia, Korea, Indonesia, Brunei dan India.
Katanya, penceritaan memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak membina kemahiran bahasa, mengembangkan imaginasi, memahami dunia dan melihat pelbagai kemungkinan di luar pengalaman sedia ada.
“Setiap kanak-kanak berhak mendapat sebuah cerita kerana cerita boleh membuat mereka ketawa, tertanya-tanya, memahami perasaan, persahabatan, kebaikan dan keberanian serta memberi inspirasi untuk mereka bermimpi tentang siapa yang ingin mereka jadi,” katanya.
Japri berkata, pembelajaran tidak seharusnya terhad kepada bilik darjah atau buku teks kerana ia turut boleh berlaku menerusi permainan, imaginasi, penciptaan, pertanyaan, kesilapan dan percubaan berulang kali.
Beliau berkata, pendekatan itu merupakan antara semangat yang ingin dibawa SCALF kepada kanak-kanak di Sarawak dan tempat lain.
Menurutnya, Pustaka Negeri Sarawak juga melihat perpustakaan bukan sekadar tempat menyimpan buku, sebaliknya ruang untuk mencetuskan idea, mengembangkan imaginasi dan menghimpunkan komuniti.
“Melalui SCALF, kita mahu Pustaka menjadi tempat kanak-kanak berasa dialu-alukan, mendapat inspirasi dan diberi peluang untuk menemui sesuatu yang baharu,” katanya.
Japri berkata, kejayaan sebenar SCALF bukan hanya diukur berdasarkan jumlah aktiviti yang dilaksanakan, tetapi melalui pengalaman, kenangan dan inspirasi yang dibawa pulang oleh kanak-kanak.
“SCALF 2026 mungkin sudah berakhir, tetapi ini bukanlah ucapan selamat tinggal kerana kita berharap dapat bertemu lagi dengan lebih banyak cerita, pengembaraan dan pengalaman menarik pada SCALF 2027,” katanya.



