KUCHING: Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) akan menganjurkan seminar pada 24 Julai ini bagi memberi pencerahan berhubung peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 2025 kepada pemain industri dan agensi sektor awam di Sarawak.
Menurut kenyataan SCOPE hari ini, seminar berkenaan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang di premisnya di sini, dan dijangka menghimpunkan wakil-wakil syarikat serta organisasi berkaitan kerajaan.
“Ia bagi membincangkan perubahan dasar percukaian yang akan berkuat kuasa tahun depan.
“Seminar ini akan mengupas pelbagai aspek berkaitan peluasan SST 2025 termasuk perkhidmatan bercukai baharu, semakan peruntukan pelepasan kumpulan serta kesannya terhadap perkhidmatan digital dan kerajaan,” kata kenyataan itu.
Antara penceramah jemputan ialah wakil daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Pengarah Eksekutif Cukai Tidak Langsung KPMG Malaysia, Ng Sue Lynn.
Topik perbincangan merangkumi gambaran keseluruhan peluasan SST 2025, percukaian ke atas perkhidmatan kerajaan dan platform digital, transaksi antara kumpulan, kewajipan pendaftaran dan strategi pematuhan serta implikasi mengikut sektor khususnya bagi perniagaan di Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE berkata, pihaknya komited membantu komuniti perniagaan dan entiti berkaitan kerajaan memahami perubahan dasar SST agar mereka tidak berdepan risiko pematuhan.
SCOPE memaklumkan sektor yang terlibat termasuk perkhidmatan profesional dan teknikal, borong, runcit, penjagaan kesihatan, hospitaliti, logistik, pembuatan, pengedaran, pembinaan dan pendidikan.
Pendaftaran dibuka sehingga 21 Julai dan orang ramai digalakkan mendaftar awal memandangkan tempat adalah terhad.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Husna di alamat emel husna@scope.net.my atau talian 082 231 23.

