KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) perlu menerapkan pendekatan 3R iaitu ‘Revisit, ‘Rethink’ dan ‘Recharge’ sebagai panduan untuk melaksanakan amanah.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, komitmen tinggi jentera pentadbiran di negeri ini menjadi nadi kepada penggerak dan kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang diwujudkan di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam tidak boleh terus terikat dengan rutin lama, seiring kepesatan teknologi masa ini.
Jelasnya, kelewatan, kerenah birokrasi dan sikap menunggu arahan perlu dihentikan.
“Saya menyarankan agar ketua jabatan meneliti semula dasar, prosedur dan proses kerja yang tidak lagi relevan.
“Penilaian semula dasar dan prosedur juga membuka ruang kepada kita untuk meningkatkan keupayaan diri secara kreatif dan inovatif.
“Ini tentunya menghasilkan pendekatan baharu yang dapat memudahkan dan mempercepat proses kerja serta memberi impak positif kepada rakyat,” katanya menerusi teks Amanat Bulan April 2025, hari ini.


