MIRI: Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan kewangan kepada 160 daripada 192 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina atau SJK(C) di Sarawak, setakat ini.
Timbalan Pendidikan Malaysia Lim Hui Ying berkata, sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan kerajaan dalam usaha menyelenggara kemudahan sekolah seterusnya, memastikan golongan muda berpeluang menikmati suasana pembelajaran dengan lebih kondusif.
“Justeru, baki (sekolah) yang telah mengemukakan permohonan bantuan kewangan untuk membaiki kemudahan mereka juga akan menerima bantuan seumpamanya secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke SJK(C) Chung Hua Lutong, SJK(C) Chung San Miri dan SMK Dato Permaisuri di sini, hari ini.
Dalam lawatan ringkasnya itu, Lim telah menyampaikan cek berjumlah RM350,000 kepada ketiga-tiga sekolah berkenaan iaitu, SJK(C) Chung Hua Lutong (RM150,000), SJK(C) Chung San Miri (RM100,000) dan SMK Dato Permaisuri Miri (RM100,000).
Hadir menyambut kedatangan Lim dan rombongannya ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I Datuk Sebastian Ting dan Pengarah Pendidikan Sarawak Datuk Dr Azhar Ahmad.
Lim turut diiringi Ahli Parlimen Stampin Chong Chien Jen merangkap pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak.


