ARTIKEL

Sebanyak 22 projek perumahan sakit berjaya disiapkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ZARINA ABDULLAH

KUCHING: Hanya 4.5 peratus daripada keseluruhan projek perumahan berlesen di Sarawak dikenal pasti sebagai projek bermasalah setakat ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Menurut Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, bagi tempoh 2016 hingga 16 Mei 2026, sebanyak 1,317 lesen pemaju telah dikeluarkan di seluruh Sarawak.

“Setakat 30 April lalu, kementerian saya mengenal pasti sebanyak 59 projek perumahan di seluruh negeri sebagai projek bermasalah.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 22 projek perumahan sakit berjaya disiapkan melalui campur tangan kementerian, manakala empat projek berjaya disiapkan sebahagian dan dua projek lagi telah disiapkan.

“Manakala baki 30 projek kini dipantau rapi dan berada dalam pelbagai peringkat intervensi. Sementara satu projek diisytiharkan sebagai projek terbengkalai tahun lalu,” katanya pada penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya, kadar projek bermasalah tersebut masih rendah berbanding jumlah keseluruhan lesen pembangunan perumahan yang dikeluarkan di Sarawak.

“Ini bermakna hanya sekitar 4.5 peratus daripada keseluruhan projek perumahan berlesen dikenal pasti sebagai projek bermasalah.

“Malah, kementerian juga berjaya mencapai hasil intervensi positif membabitkan 28 projek sekali gus mengurangkan kadar projek bermasalah kepada sekitar 2.35 peratus,” ujarnya.

Katanya, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memulihkan projek terjejas serta melindungi kepentingan pembeli rumah.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya akan terus memantau projek terbabit secara rapi dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan langkah pemulihan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berkesan.

Dalam hal berlainan, beliau berkata kementeriannya turut mempergiat pelaksanaan program berasaskan digital sejajar dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

Katanya, sebanyak 4,293 program berasaskan digital dilaksanakan dari 2020 hingga 2025 melibatkan program pembangunan perniagaan dalam talian, kemahiran pemasaran digital, penjenamaan produk, penciptaan kandungan dan keselamatan siber.

“Program ini melibatkan 58 Pusat Komuniti Digital di bawah pelbagai pihak berkuasa tempatan serta memberi manfaat kepada 98,331 peserta tempatan.

“Kementerian tahun ini turut melaksanakan Program Juara Digital Sarawak menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bagi melengkapkan usahawan tempatan dengan kemahiran digital serta meningkatkan kesedaran dan literasi digital terutama dalam komuniti luar bandar,” tambahnya.

BERITA LAIN

15 Individu Tamat Kursus Kejurulatihan

KUCHING: Seramai 15 individu berjaya menamatkan dan lulus Kursus Sijil Kejurulatihan Diploma ‘B’ AFC/FAM yang berlangsung di Kuching. Kursus berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu

BERITA TERBARU

15 Individu Tamat Kursus Kejurulatihan

KUCHING: Seramai 15 individu berjaya menamatkan dan lulus Kursus Sijil Kejurulatihan Diploma ‘B’ AFC/FAM yang berlangsung di Kuching. Kursus berkenaan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu