ARTIKEL

SEDC Perlu Kekal Relevan Dengan Aspirasi Ekonomi Baharu Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peranan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) perlu kekal relevan dengan aspirasi pembangunan ekonomi baharu negeri, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak 2026 bertujuan memperkemas Ordinan SEDC [Bab 35 Edisi 1958] yang menjadi asas penubuhan, kuasa, fungsi dan tanggungjawab perbadanan berkenaan sejak hampir tujuh dekad lalu.

“Kerangka perundangan yang mengawal selia SEDC dan entiti terdahulunya memainkan peranan besar dalam menyokong pembangunan ekonomi Sarawak sejak 1957.

“Bagaimanapun, landskap ekonomi Sarawak kini berubah secara drastik dan memerlukan pendekatan lebih moden serta responsif dengan cabaran dan peluang baharu,” katanya.

Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua berkata demikian ketika membentangkan RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, sejarah perundangan SEDC bermula dengan penggubalan Ordinan Perbadanan Kewangan Pembangunan 1957 yang kemudian diterbitkan semula pada 1958, sebelum beberapa pindaan dilakukan pada 1964 dan 1965.

“Perubahan besar berlaku pada 1971 menerusi penggubalan Ordinan Perbadanan Pembangunan Kewangan Sarawak yang menyusun semula serta membentuk semula perbadanan itu sebagai SEDC.

“Penyusunan semula itu turut memastikan kesinambungan fungsi, aset, projek dan tanggungjawab perbadanan apabila semua tanah, projek, harta, aset, kuasa, hak dan keistimewaan dipindahkan kepadanya,” ujarnya.

Beliau berkata, selepas penyusunan semula tersebut, ordinan berkenaan dipinda pada 1972 menggunakan nama baharu dan terus melalui beberapa pindaan pada 1976, 1979, 1984 dan 1996 sebelum dipinda semula pada 2009 yang kekal menjadi versi semasa.

“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekarang, ia menuntut semakan semula ordinan tersebut bagi memastikan perbadanan terus selari dengan aspirasi pembangunan masa kini.

“Pindaan ini bukan sekadar proses kemas kini undang-undang, tetapi langkah penting dan tepat pada masanya bagi memastikan perbadanan ini kekal responsif, relevan dan berupaya menyokong agenda pembangunan ekonomi masa depan Sarawak,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU