LAWAS: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menyantuni seramai 90 pelajar B40 melibatkan beberapa sekolah sekitar daerah ini.
Antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Lawas, Sekolah Kebangsaan Agama (MIS) Lawas, SK Batu Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas, SMK Merapok dan SMK Trusan.
Pengurus Besar SEDC, Datuk Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir berkata pelajar yang terpilih menerima sumbangan berupa duit raya dan barang kelengkapan sekolah.
“Usaha yang dijalankan ini merupakan sebahagian daripada budaya korporat SEDC yang menekankan isu sosial dan kemasyarakatan dengan setiap insan terutamanya kanak-kanak berhak diberi perhatian sama, tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Ziarah Kasih Aidilfitri SEDC bersama-sama sekolah terpilih bahagian Lawas.
Tambah beliau, SEDC turut merangka beberapa program kemasyarakatan lain pada tahun ini termasuk MyKasih SEDC dengan penghuni Rumah Seri Kenangan, Love-In-A-Box Christmas, Love In-A-Box Chinese New Year, Majlis Berbuka Puasa dengan Premier Sarawak dan TYT Sarawak, serta Majlis Ziarah Kasih Aidilfitri.
Abdul Hadi turut berharap Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) seumpama itu mendapat sokongan daripada orang ramai dan agensi lain.
Hadir sama, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Lawas, Joseph Ganang Surang, Pegawai Pendidikan Daerah Lawas, Ismail Bahrain, Timbalan Setiausaha Majlis Daerah Lawas, Mohammad Adib Morni, Pemangku Pengarah Bahagian Perhubungan Komunikasi, Judith Angela Skinner dan Pegawai Penguasa Pejabat SEDC Wilayah Miri, Nordin Mus.



