KUCHING: Penjenamaan semula Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dilihat sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh imej profesional Sarawak di peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur asing.
ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, perubahan tersebut bukan sekadar melibatkan pertukaran nama, sebaliknya mencerminkan transformasi pemikiran dan kesediaan Sarawak untuk bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi global yang semakin kompetitif.
Katanya, Sarawak memerlukan institusi ekonomi yang lebih moden, cekap dan berwibawa bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, kecerdasan buatan, teknologi hijau dan industri hiliran.
“Pelabur masa kini bukan sahaja menilai insentif atau kekayaan sumber asli sesebuah wilayah, malah turut memberi perhatian kredibiliti institusi, tadbir urus serta hala tuju pembangunan jangka panjang.
“Institusi yang memiliki reputasi kukuh akan meningkatkan keyakinan pelabur, seterusnya membantu mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau turut menyokong cadangan menggantikan jawatan ‘Pengurus Besar’ kepada ‘Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan’ yang disifatkan lebih sesuai dengan fungsi serta skala operasi semasa SEDC.
Tambah beliau, Sarawak kini menguruskan ekosistem ekonomi yang semakin kompleks melibatkan pembangunan industri, peralihan tenaga, peluasan infrastruktur dan pelaburan antarabangsa yang memerlukan kepimpinan lebih strategik serta berorientasikan standard global.
Dalam pada itu, Abdul Yakub berkata, penyertaan wakil Kementerian Ekonomi Persekutuan, Peguam Besar Negeri, Setiausaha Kewangan Sarawak dan golongan profesional dalam bidang industri, kewangan, perdagangan serta sains mampu memperkukuh penyelarasan dasar pembangunan ekonomi negeri.
Beliau turut menegaskan pembangunan ekonomi Sarawak perlu memberi manfaat secara menyeluruh termasuk kepada masyarakat luar bandar, rumah panjang dan kawasan pesisir.
“Pindaan berkaitan larangan individu terlibat rasuah, penipuan, pengubahan wang haram dan muflis daripada memegang jawatan dalam perbadanan itu turut memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dengan prinsip integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik,” katanya.

