KUCHING: Projek Pengangkutan Karbon Rendah yang diperkenalkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mendapat pengiktirafan apabila agensi itu menerima anugerah pada persidangan tahunan Enlit Asia di Jakarta, pada 14 November lalu.
SEDC dalam satu kenyataan berkata, anugerah merupakan pengiktirafan untuk Trem Pintar Transit Cepat Autonomi (ART) dikuasakan sel bahan api hidrogen oleh Metro Sarawak, anak syarikat milik penuh SEDC.
Katanya, Enlit Asia yang merupakan jenama penyatuan Powergen Asia dan Minggu Ultiliti Asianyang menyediakan platform untuk penyelia industri terkemuka bagi mempamerkan penyelesaian, perkhidmatan dan produk yang inovatif selaras dengan strategi Asia beralih kepada bekalan tenaga rendah karbon.
“Kategori anugerah Pengangkutan Karbon Rendah termasuk penyelesaian mobiliti karbon rendah yang cekap, kos efektif atau projek yang menyokong pembangunan atau pertumbuhan pengangkutan bukan enjin pembakaran dalaman (ICE) di seluruh rantau ini,” katanya hari ini.
Tambahnya, pengiktirafan adalah bukti komitmen tinggi Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga menteri bertanggungjawab SEDC terhadap visi mampan untuk pembangunan masa depan Sarawak.
Malah katanya, pembangunan ekonomi hidrogen boleh diperbaharui dan pengurangan pelepasan karbon berupaya memastikan Sarawak menikmati kualiti hidup yang inklusif dan lebih baik tanpa melibatkan pertumbuhan ekonomi.
Untuk maklumat lanjut berkenaan SEDC Sarawak, sila layari [sedc.com.my].


