Berhentilah mengejar kebendaan dan memuja dunia.
Berhentilah berlebihan dalam sesuatu perkara.
Bebaskan diri anda daripada terikat dengan bayangan hidup bahagia, harta benda dan pangkat.
Sifat berlebih-lebihan ini hanya menimbulkan keresahan berpanjangan dalam diri.
Ia kemudian mengheret anda untuk terus sibuk dan kurang menumpukan perhatian perkara lebih penting seperti beribadah, meluangkan masa dengan orang tersayang dan banyak lagi.
Justeru, kurangkan sifat berlebihan itu agar hidup lebih bermakna dan efi sien.
Mulakan hari anda dengan gaya hidup minimalis.
Usah taasub dengan fesyen yang selamanya sentiasa berubahubah dari masa ke masa.
Kurangkan obses terhadap gajet dan nafsu berbelanja.
Lebihkan fokus kepada keperluan daripada kehendak semata-mata. Utamakan kualiti berbanding kuantiti dalam hidup anda.
Hiduplah dengan mengenal pasti dan mengekalkan barangan atau perkara yang benar-benar dapat membahagiakan diri.
Dengan cara ini, hidup pasti lebih tenang, harmoni dan produktif.
Anda juga menjadi kurang serabut dalam melakukan sesuatu perkara.
UBAH GAYA HIDUP
Namun, bagaimana hendak jalani hidup minimalis?
Sememangnya ia bukan sesuatu yang boleh diubah serta-merta lebih-lebih lagi ini tentang gaya hidup.
Penulis Faridah Ghazali berkongsi panduan tentang cara menjalani gaya hidup yang penuh dengan kesederhanaan melalui penulisannya bertajuk Minimalis.
Kita harus sentiasa ingat, biarlah kita yang menguasai sesuatu perkara dan jangan pula kita dikuasai oleh perkara tersebut.
Berpada-pada dalam berbelanja dan elak mengikut hawa nafsu.
Kawal diri berbelanja secara berhati-hati.
Dengan ini, perasaan cinta akan dunia berlebihan dapat dikurangkan.
Manakala wang juga boleh dijimatkan dan dimanfaatkan untuk keperluan penting sahaja.
Seterusnya, beri ruang kepada diri sendiri. Kenal pasti kemampuan diri dan jangan cepat menerima sesuatu tugasan yang kita tidak yakin dapat lakukan.
Dengan ini, kita dapat mengelak diri daripada tertekan dan meletakkan banyak beban di bahu kita.
Usah diendah ketidaksempurnaan yang difi kir oleh orang lain daripada kita terbeban dengan banyak tugasan dan akhirnya mengundang stres.
Selain itu, belajar katakan “tidak” ajakan kawan atau orang yang tidak seiring dengan keinginan kita.
Ia penting supaya jadual harian kita tidak terganggu.
Hanya kerana kita takut untuk menolak ajakan kawan, kerja kita tergendala sekali gus mendorong kepada timbunan tugasan belum selesai dan akhirnya membuat kita stres.
Oleh itu, tinggalkan ruang dan masa untuk diri kita sendiri.
Akhir sekali, rajinkan diri mengemas ruang kediaman.
Usah disimpan barangan atau pakaian yang tidak digunakan, dermalah atau jual semula sekiranya ia masih elok.
Selesai melakukan pendekatan ini, ruangan rumah pasti tampak luas dan ini memudahkan kita menyusun atur perabot serta barangan rumah dengan lebih teratur.
Ruang kediaman yang kemas membolehkan kita berehat dengan tenang di rumah selepas penat bekerja atau belajar.
Cara ini bukan sahaja boleh dipraktik di tempat kediaman, tetapi dalam kehidupan kita.
Singkirkan elemen yang hanya mendatangkan kecelaruan dalam hidup kita dan memusnahkan kebahagiaan.
KENAPA MINIMALIS?
Diri kita dambakan kebahagiaan, jadi kita berhak untuk menghapuskan apaapa perkara yang boleh memusnahkan bahagia itu.
Usah takut kehilangannya daripada diri kita sendiri merana.
Meskipun gaya hidup minimalis setiap orang berbeza, namun manfaat yang diperoleh daripadanya adalah sama.
Antaranya, hidup lebih bahagia dan tenang kerana tidak dirundung kerunsingan.
Hal ini kerana kebergantungan sesuatu perkara seperti harta benda secara berlebihan menimbulkan keresahan dalam hati dan minda.
Misalnya, risau harta benda yang banyak dirompak atau tertekan sehingga ingin membunuh diri kerana tidak dapat mencapai impian yang diinginkan.
Oleh itu, berpada-pada menginginkan sesuatu agar tidak memudaratkan diri sendiri.
Semestinya kita memiliki kuantiti barangan sedikit, namun berkualiti kerana hidup secara minimalis.
Kita juga tidak pening kepala dalam membuat pemilihan seperti memilih pakaian untuk dipakai pada hari tersebut.
Pilihan sedikit, maka kerja pemilihan menjadi senang.
Berbanding individu yang mengumpul banyak pakaian, maka dia menghadapi kesukaran dalam membuat pilihan pakaian.
Sama juga konsepnya dengan perkara lain.
Pembuatan keputusan menjadi lebih mudah dengan adanya pilihan sedikit dan berkualiti.
Seterusnya, kita dapat menjadi lebih produktif dan fokus melakukan sesuatu pekerjaan.
Situasi ini berikutan kurangnya gangguan daripada banyak perkara dan pengamalan hidup bersederhana.
Kita juga dapat menumpukan perhatian kepada perkara lebih penting dan meluangkan masa dengan perkara yang lebih mendatangkan manfaat kepada diri.
Manakala matlamat dan impian pula boleh direalisasikan dengan tingkat fokus yang tinggi.
Hidup minimalis turut mendorong kita lebih menghargai diri sendiri dan meningkatkan sifat rendah diri.
Ia menjadikan diri kita lebih realistik dalam menjalani kehidupan dan dapat membebaskan diri daripada resah akibat keinginan yang melampau.
Sikap berpijak di bumi yang nyata juga boleh diterapkan, belajarlah untuk menerima dan bersyukur dengan apa-apa yang dimiliki.
Justeru, uruslah hal dunia dengan rasional dan ubahlah hidup kepada hidup yang minimalis.