ARTIKEL

Reaksi kecewa ketua jurulatih Malaysia, Pau Marti Vicente, pada sidang media selepas tamat perlawanan kumpulan A Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.

“Sedih untuk berakhir macam ini” – Vicente

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente, percaya pasukannya layak mendapat keputusan yang lebih baik setelah impian ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 berkecai.

Mereka seri tanpa jaringan dalam perlawanan menentang Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Jurulatih dari Sepanyol yang berusia 41 tahun itu mengaku ia adalah cara yang mengecewakan untuk menamatkan kempen.

Pasukan Harimau Malaya menamatkan saingan di tempat ketiga dalam kumpulan, di belakang Thailand yang menduduki tempat pertama, dan Singapura.

“Ia sukar untuk mengungkapkan (perasaan). Saya percaya kami layak mendapat lebih malam ini dan dari segi permainan, kami tidak boleh melakukan lebih banyak untuk meraih kemenangan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

“Pada masa yang sama, saya bersyukur atas sokongan orang ramai yang menghormati usaha pemain-pemain dalam dua minggu kebelakangan ini.

“Walaupun dalam situasi yang sukar, kami masih dapat kekal bersama dan dengan sokongan peminat di Bukit Jalil, saya rasa ini adalah sesuatu yang positif untuk bola sepak Malaysia,” katanya.

Kekecewaan Malaysia ini menandakan perlawanan terakhir Vicente bersama pasukan kebangsaan selepas beliau dilantik pada Januari 2022.

Beliau mengumumkan akan meninggalkan pasukan sebaik sahaja tamat kempen Piala ASEAN.

Sementara itu, ketua jurulatih Singapura, Tsutomu Ogura, berkata walaupun pasukannya berjaya mara ke separuh akhir, beliau mengaku bahawa pemain-pemainnya tidak beraksi dengan baik semalam.

Namun, beliau melahirkan rasa bangga terhadap barisan pertahanan pasukannya yang berjaya menghalang Malaysia daripada menjaringkan gol.

Dalam satu lagi perlawanan akhir Kumpulan A, Thailand mengalahkan Kemboja 3-2 di Bangkok semalam untuk mengesahkan status mereka sebagai juara kumpulan dengan 12 mata, diikuti Singapura (7), Malaysia (5), Kemboja (4), dan Timor-Leste yang berada di tempat terakhir tanpa mata.

Thailand akan bertemu naib juara Kumpulan B pada separuh akhir manakala Singapura akan berhadapan dengan juara kumpulan tersebut.

Untuk rekod, Malaysia, juara 2010, berjaya mara ke separuh akhir dalam edisi sebelumnya. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU