KUCHING: Isu bekalan elektrik kerap kali terputus yang masih membelenggu penduduk di kawasan Kabong perlu ditangani secepat mungkin, kata ADUN Kabong Mohamad Chee Kadir.
Tegasnya, antara inisiatif diambil baru-baru ini adalah mengadakan sesi libat urus dengan pihak pengurusan Kanan SESCO bersama ketua kampung dan tuai rumah.
“Pihak SESCO telah memberi banyak penjelasan berkaitan bekalan elektrik terputus kerap kali berlaku dan berjanji akan menyiasat puncanya.
“Adalah diharapkan satu tindakan intervensi akan diambil agar bekalan tidak terputus dan sentiasa stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada menyokong usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Menurutnya, insiden terbabit bukan sahaja melibatkan bekalan elektrik malah memberi kesan buruk kepada perkhidmatan telekomunikasi penduduk di kawasan berkenaan.
“Untuk makluman setiap kali bekalan elektrik terputus, maka perkhidmatan telekomunikasi (telefon) juga terputus, menyebabkan penduduk-penduduk tidak dapat menghubungi antara satu dengan yang lain,” jelasnya.
Justeru, beliau memohon agar Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dapat mengambil tindakan sewajarnya mengenai perkara tersebut di samping melaksanakan penyambungan elektrik ke rumah-rumah baharu.





