BETONG: Kerajaan Persekutuan perlu tampil segera dengan peruntukan dan kepakaran bagi membantu Kerajaan Sarawak yang menyediakan tapak bagi penanaman padi.
Ahli Pimpinan Negeri Keadilan Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim perlu mengembleng tenaga dan sumber bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak.
Menurutnya, memandangkan beras masih merupakan makanan ruji, maka seruan untuk memulakan tanaman padi berskala besar harus disahut.
“Saya yakin Kerajaan Sarawak sudah menyediakan tapak.
“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan melalui kementerian berkaitan patut tampil segera dengan peruntukan di samping kepakaran yang diperlukan.
“Saya yakin Sarawak mempunyai tenaga kerja mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengenai Sarawak mempunyai keluasan tanah mencukupi dan patut diberikan perhatian wajar oleh rakyat dan Kerajaan Persekutuan bagi memulakan usaha penanaman padi berskala besar disegerakan.
Beliau turut menyeru kerajaan supaya segera turun padang untuk mengkaji dan menilai semua rancangan dan permohonan rakyat yang menunjukan minat dalam aktiviti penanaman padi.
Menurutnya, libat urus khas untuk mewujudkan industri padi di Sarawak harus segera dilakukan.
“Sebarang kekangan birokrasi mesti dielakkan demi kelancaran program dirancang.
“Sudah tiba masanya Sarawak mengurangkan import beras dari luar kerana kita mampu.
Kita mempunyai tanah luas dan subur serta iklim sesuai.
“Sehubungan itu, pasukan petugas khas untuk membantu memulihkan semangat rakyat agar kembali minat bertani harus dilakukan.
“Sementara pendekatan berjagung-jagung dahulu sebelum padi masak harus difikirkan oleh kerajaan. Maknanya petani harus dibantu di peringkat permulaan sebelum perusahaan itu mengeluarkan hasil… terutama kepada para belia lepasan sekolah dan yang masih menganggur,” ujarnya.

