BUKAN mudah untuk menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD) apabila setiap hari perlu mengimbangi tuntutan kerjaya, tanggungjawab sebagai ibu dan tekanan menyiapkan tesis yang seakan-akan tiada penghujung.
Namun, bagi Dr Fasiha Khushiri, segala keletihan, pengorbanan masa dan detik hampir berputus asa akhirnya terbayar apabila wartawan Sarawak Tribune itu berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kejayaan tersebut diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-30 UNIMAS, Sidang Pertama, yang berlangsung di DeTAR Putra, Kota Samarahan semalam.
Di sebalik pencapaian itu, tersimpan perjalanan panjang yang menguji ketahanan emosi, disiplin serta keupayaannya menggalas tanggungjawab sebagai wartawan, isteri, ibu dan pelajar secara serentak.
Ketika tugasan kewartawanan menuntut beliau sentiasa bersedia membuat liputan, masa terluang pula dimanfaatkan untuk membaca jurnal, menjalankan penyelidikan dan menyempurnakan penulisan tesis.
“Ada ketika saya terpaksa mengetepikan waktu berehat dan menggunakan masa lapang untuk membaca, menulis serta menyiapkan penyelidikan,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.
Impian di sebalik kesibukan
Minat mendalam dengan ilmu pengetahuan serta keinginan untuk meningkatkan kemampuan diri mendorong ibu kepada tiga cahaya mata ini melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.

Pengalaman sebagai wartawan yang sering berhadapan dengan pelbagai isu masyarakat turut menyedarkannya tentang kepentingan memahami sesuatu perkara secara lebih mendalam melalui penyelidikan.
Bagaimanapun, jadual kerja yang tidak menentu dalam bidang kewartawanan menjadi cabaran apabila beliau perlu membuat liputan pada waktu malam dan hujung minggu.
Keadaan itu menuntut Dr Fasiha memanfaatkan setiap kesempatan untuk membaca jurnal, meneliti bahan penyelidikan dan menyiapkan penulisan akademik.
“Saya belajar bahawa keseimbangan bukan bermaksud kita mampu memberikan masa yang sama kepada semua perkara setiap hari, tetapi kita tahu menyusun keutamaan dan memastikan setiap tanggungjawab tetap diberikan perhatian,” jelasnya.
Beliau turut menghargai sokongan keluarga yang memahami komitmen serta matlamatnya sepanjang tempoh pengajian.
Ketika keyakinan mula diuji
Di sebalik kesungguhan itu, Dr Fasiha tidak menafikan pernah melalui detik sukar sehingga mempersoalkan kemampuan dirinya untuk menamatkan pengajian.
Antara cabaran paling berat ialah proses menyiapkan tesis, khususnya apabila perlu membuat pembetulan berdasarkan teguran pemeriksa serta memperkukuh hujah dan analisis penyelidikan.
Proses tersebut menuntut kesabaran dan ketelitian, sedangkan tanggungjawab sebagai wartawan dan ibu tetap perlu dilaksanakan.
“Ada ketika saya berasa penat, tertekan dan tertanya-tanya sama ada saya mampu menyelesaikannya. Lebih mencabar apabila tuntutan kerja dan tanggungjawab keluarga berjalan serentak.
“Namun, saya selalu mengingatkan diri bahawa saya sudah melangkah sejauh ini dan tidak mahu mengalah di pertengahan jalan,” katanya.
Anak-anak dan keluarga menjadi sumber kekuatan yang mendorongnya untuk terus bertahan meskipun berhadapan dengan pelbagai kesukaran.
Beliau mahu anak-anak memahami bahawa pendidikan amat berharga dan impian masih boleh dicapai melalui usaha, kesabaran serta keazaman.
Penyelidikan dekat dengan kehidupan
Menariknya, bidang penyelidikan Dr Fasiha mempunyai hubungan rapat dengan cabaran wanita berkerjaya yang turut memikul tanggungjawab keluarga.
Tesis beliau bertajuk ‘The Effect of Flexible Working Arrangements among Women towards Work-Life Balance as Working Mothers in Kuching, Malaysia’.
Kajian tersebut meneliti persepsi wanita bekerja, khususnya golongan ibu di Kuching, dengan aturan kerja fleksibel serta hubungannya dengan keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan peribadi.
Antara aspek yang dikaji termasuk autonomi, kompetensi dan hubungan sosial serta pengaruhnya terhadap persepsi wanita mengenai waktu bekerja fleksibel dan bekerja dari rumah.
“Saya memilih bidang ini kerana isu keseimbangan kerja dan kehidupan amat dekat dengan realiti masyarakat hari ini, khususnya wanita yang perlu mengimbangi tanggungjawab profesional dan keluarga,” katanya.
Beliau berharap penyelidikan itu dapat membantu organisasi dan pembuat dasar memahami keperluan pekerja wanita, termasuk dalam industri media yang mempunyai jadual kerja tidak menentu.
Pengorbanan akhirnya terbayar
Selepas melalui pelbagai cabaran, detik paling bermakna buat Dr Fasiha ialah apabila beliau berjaya menyelesaikan semua pembetulan tesis dan menerima pengesahan bahawa pengajiannya telah sampai ke penghujung.
Baginya, memperoleh gelaran doktor bukan sekadar pencapaian akademik, malah pengalaman yang membentuk dirinya menjadi individu yang lebih berdisiplin, sabar dan tabah.
Beliau berharap pengalamannya dapat memberikan inspirasi kepada wartawan muda dan wanita bekerja yang berhasrat melanjutkan pengajian tetapi bimbang dengan kekangan masa, kewangan serta komitmen kerjaya.
Dr Fasiha turut menasihatkan mereka supaya merancang perjalanan akademik secara berperingkat, mendapatkan sokongan keluarga dan tidak terlalu membandingkan pencapaian sendiri dengan orang lain.
“Jangan tunggu sehingga kehidupan menjadi sempurna untuk mengejar impian. Dengan disiplin, pengorbanan dan sokongan insan tersayang, kita masih mampu mencapai sesuatu yang pada mulanya kelihatan mustahil,” katanya.
Di sebalik gelaran Dr yang kini mengiringi namanya, tersimpan kisah seorang wartawan yang tidak membiarkan tuntutan kerjaya menghentikan pembelajaran dan seorang ibu yang mahu menjadi contoh kepada anak-anak.
Bagi Dr Fasiha, kejayaan sebenar bukan sekadar memperoleh gelaran doktor, tetapi membuktikan bahawa impian tetap mampu direalisasikan meskipun terpaksa menempuh pelbagai pengorbanan.







