SPAOH: Sekatan jalan raya yang kerap diadakan merupakan langkah kerajaan mengurangkan kadar kemalangan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, berkata kerajaan mempunyai aspirasi untuk mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya hingga 50 peratus menjelang 2030.
Ini menurutnya adalah rentetan daripada dapatan data yang membimbangkan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Merujuk kepada kajian MIROS baru-baru ini, di Malaysia, 19 hingga 20 kematian yang berlaku setiap hari akibat nahas jalan raya.
“Angka ini amat membimbangkan, bukan sahaja menyumbang kerugian kepada negara namun memberi impak yang negatif terhadap sesebuah institusi keluarga.
“Sehubungan itu, sekatan jalan raya yang kerap diadakan merupakan langkah kerajaan mengurangkan kadar kemalangan.
“Mereka yang menguatkuasakan undang-undang atau peraturan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya bukan ‘musuh’,” katanya.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penutupan Bantuan Lesen Memandu B2 (MyLesen) Peringkat Parlimen Betong di Dewan Masyarakat dekat sini, hari ini.
Jelasnya, merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh PDRM, kadar kemalangan maut akibat nahas jalan raya di Malaysia direkodkan sebanyak 6,024 kes pada tahun lalu.
“Sebanyak 74 peratus daripadanya merupakan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal.
“Sementara bagi Sarawak, kadar kemalangan maut akibat nahas jalan raya adalah sebanyak 378 kes dan sebanyak 198 atau 52 peratus daripadanya melibatkan penunggang motosikal pada tahun sama.
“Dalam erti kata lain, kalau melanggar pun jatuh, apatah lagi jika dilanggar,” ujarnya.
Justeru tegas Hasbi, JPJ sentiasa komited memastikan pengguna jalan raya sentiasa diberi peringatan dan kesedaran tentang perlunya mengamalkan penunggangan berhemah.
Penguatkuasaan dijalankan oleh JPJ dengan matlamat untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya, terutama membabitkan kehilangan nyawa.
Bantuan Lesen Memandu B2 (MyLesen) Peringkat Parlimen Betong membabitkan penglibatan 836 peserta yang berumur 16 sehingga 82 tahun.
Program dilaksanakan sejak April lalu hingga 14 Julai 2024 melibatkan kerjasama di antara JPJ Sarawak, Pejabat Daerah Betong, Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Betong dengan Pusat Memandu Betong.

