Sekolah bergelap sebulan

KAPIT: Tiada siapa yang tahu SK Mujong Tengah yang terletak jauh di pedalaman Kapit telah bergelap selama sebulan yang lalu.

Tidak dapat dibayangkan kesengsaraan dan kesusahan dialami 22 murid asramanya berserta 15 kakitangan terdiri daripada guru besar, guru dan kakitangan sokongan.

‘Buletin Kapit Sarawak’, sebuah halaman di laman sosial menyiarkan keperitan dialami warga sekolah berkenaan dalam media sosial pada Rabu dan ia mendapat perhatian nitizen.

SK Mujong Tengah, sebuah sekolah terletak sekitar dalam 80 kilometer dari Kapit dan mengambil masa 4 jam 30 minit melalui jalan sungai, iaitu Sungai Rajang dan masuk ke Sungai Baleh.

Kemudian menyusuri Sungai Mujong yang berjeram dan berombak besar.

Itulah antara cabaran besar untuk sampai di sekolah tersebut.

Sekolah ini merupakan sekolah cadangan untuk menggabungkan beberapa buah sekolah di kawasan pedalaman di Sungai Mujong supaya menjadi sekolah pusat.

Bangunannya dibina dengan konkrit sepenuhnya seperti blok kelas, blok pentadbiran, asrama dan dewan makan.

Kapasiti bangunan dapat menempatkan kira-kira 200 orang murid.

Bagi bekalan makanan basah murid asrama, ia dihantar seminggu sekali ke sekolah oleh kontraktor yang dilantik, tetapi ia berubah sejak 31 Mac lalu apabila kedua-dua jana kuasa sekolah rosak dan tidak dapat menjanakan kuasa elektrik.

Justeru, ia menimbulkan kesulitan dan menyebabkan ibu bapa merungut.

Seorang ibu enggan dikenali memberitahu, sistem jana kuasa sekolah dikendalikan sebuah syarikat kontraktor yang dilantik, tetapi ia tidak pernah dibaik pulih, dibaiki atau diselenggarakan.

“Disebabkan masalah ini, persekolahan anak kami terganggu dan anak-anak kami tidak selesa belajar.

“Tambahan pula, cuaca ketika ini sangat panas,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Menurut ibu bapa lagi, pada sebelah malam anak-anak mereka bergelap.

“Sebelah malamnya pula, anak kami dan warga sekolah bergelap sepanjang malam.

“Anak kami berasa ketakutan tinggal di asrama gelap sebelah malam dan kepanasan sebelah siang kerana di rumah panjang dilengkapi dengan kemudahan solar 24 jam,” ujarnya lagi.

Rentetan daripada masalah itu, jelas mereka, ada antara kakitangan sekolah terpaksa membeli jana kuasa kecil dan membeli petrol sendiri bagi kegunaan sendiri kerana sudah tidak tahan lagi.

Tidak cukup dengan itu, perbelanjaan pengurusan sekolah meningkat kerana terpaksa menanggung kos membeli bateri kering untuk kegunaan asrama.

“Murid-murid asrama tidak kira waktu mandi, makan, ulang kaji atau di asrama mereka bergantung kepada lampu berkhemah yang menggunakan bateri tidak jauh bezanya daripada lampu suluh,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, rumah panjang berdekatan terang-benderang manakala sekolah gelap gelita dengan cahaya yang samar-samar dari lampu berkhemah yang menggunakan bateri itu.

Justeru, PIBG sekolah melahirkan kebimbangan mengenai nasib anak-anak mereka.

PIBG juga risau apabila mengenangkan murid-murid di asrama apabila minum pagi dalam keadaan samar-samar manakala makan tengah hari dalam kepanasan.

Difahamkan, tukang masak menyediakan sarapan murid dalam keadaan samar menggunakan lilin dan lampu berkhemah.

“Ini sudah sebulan sekolah kami bergelap. Kami sebagai ibu bapa dan PIBG SK Mujong Tengah mohon jana kuasa itu dibaik pulih dengan kadar segera oleh syarikat kontraktor berkenaan supaya anak-anak kami dapat belajar dengan selesa seperti rakan-rakan mereka di sekolah lain.

“Semoga rintihan serta suara kami sebagai ibu bapa dapat didengari sekali gus menyelesaikan masalah sekolah kami ini,” tambahnya lagi.