ARTIKEL

Gambar hiasan

Sekolah di Lubok Antu, Kanowit ditutup akibat jerebu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Semua sekolah rendah dan menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu dan Kanowit ditutup sementara berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang membimbangkan akibat jerebu.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa serta-merta pada 21 September 2026.

Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan setakat 9 pagi hari ini, selain mengambil kira aspek kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah.

Susulan penutupan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 8 Tahun 2016.

Pelaksanaan PdPR turut berpandukan Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016.

Dalam pada itu, sekolah yang terletak berhampiran daerah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200 boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR.

JPN Sarawak berkata, pertimbangan itu perlu dibuat oleh guru besar dan pengetua dengan mengambil kira faktor kesihatan serta keselamatan murid.

Bagaimanapun, sekiranya trend bacaan IPU menunjukkan penurunan kepada paras bawah 200, guru besar dan pengetua boleh mengambil tindakan bagi persediaan pembukaan semula sekolah.

Pihak sekolah turut diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta merujuk Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak juga dinasihatkan mematuhi garis panduan ketika cuaca panas seperti terkandung dalam Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2023.

Pada masa sama, institusi pendidikan diminta sentiasa peka dengan perkembangan semasa dengan merujuk Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) bagi memantau tahap IPU di kawasan masing-masing.

JPN Sarawak turut mengingatkan semua institusi pendidikan supaya mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.

JPN Sarawak menegaskan pihaknya sentiasa mengambil berat aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan sepanjang keadaan jerebu melanda.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU