SELANGAU: Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh Selangau di sini hari ini diarah ditutup atas faktor keselamatan ekoran berlakunya banjir, yang berpunca dari hujan lebat semalaman menyebabkan air pasang melimpah dari Sungai Buloh.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar Ismail menjelaskan tinjauan ke lokasi mendapati kawasan sekolah telah dinaiki air dan menjejas beberapa bangunan sekolah kerana kawasan yang rendah.
“Sekitar tinjauan oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Unit Selangau yang dijalankan oleh empat orang anggota LLP, pada jam 1 petang tadi mendapati air pasang mula menaiki kawasan sekolah sedalam 1 sehingga 2.5 kaki, diikuti dengan cuaca sekitar mendung.
“Sebelum itu pada jam 11.30 pagi pihak sekolah telah menghentikan sesi persekolahan dan menyuruh semua pelajar untuk pulang ekoran paras air yang semakin naik di kawasan sekolah berkenaan,” katanya.
Tambahnya seramai 148 orang pelajar sekolah dari pra sekolah sehingga tahun enam dan 21 orang kakitangan sekolah termasuk guru dan anggota kumpulan perlaksana yang terlibat telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing.
Sehingga jam 4.30 petang tadi keadaan lokasi banjir masih dalam keadaan terkawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
SEKOLAH BANJIR … Angkatan Pertahanan Awam (APM) Unit Selangau memeriksa kawasan sekolah petang tadi.