
“Sekolah luar bandar bukan sekadar tempat memulakan kerjaya, tetapi medan yang mendidik guru tentang nilai pengorbanan, kesabaran dan tanggungjawab.”
Demikian kata guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tebas, Kuching, Cikgu Siti Najwa Jamaluddin Jugah.
Menyorot kembali detik awal penempatan pertamanya, guru muda ini mengakui bahawa melangkah ke alam keguruan di kawasan luar bandar menuntut ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.
Menurutnya, keterujaan memulakan kerjaya sebagai pendidik sering kali bercampur baur dengan rasa gementar apabila mengenangkan persekitaran yang asing dan serba baharu.
MENONGKAH CABARAN DEMI ANAK BANGSA
Masyarakat umum sering mengaitkan sekolah luar bandar dengan pelbagai stigma, seperti kekangan infrastruktur, faktor jarak yang jauh serta akses digital yang terhad. Bagaimanapun, bagi Cikgu Siti Najwa, realiti di lapangan mengajarnya untuk melihat setiap cabaran dari sudut pandang yang berbeza.
“Cabaran seperti isu capaian Internet dan kemudahan yang terhad bukan penghalang kepada usaha mendidik.
“Sebaliknya, cabaran itu menjadi peluang keemasan kepada kami sebagai guru baharu untuk meningkatkan kreativiti, daya tahan dan kemahiran menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau menambah, situasi tersebut secara tidak langsung mendorong para pendidik untuk keluar daripada zon selesa. Pendekatan pembelajaran abad ke-21 (PAK-21), ujarnya, tetap dilaksanakan dengan mengadaptasi sumber sedia ada bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlangsung dengan berkesan dan menarik.
KEHANGATAN SOKONGAN WARGA SEKOLAH
Salah satu aspek yang paling menyentuh hati guru muda ini sepanjang bertugas di SK Muara Tebas ialah keakraban dan semangat kekeluargaan yang utuh dalam kalangan warga sekolah.
Sokongan moral daripada rakan sejawat dan penerimaan positif daripada murid-murid menjadi pendorong utama untuk beliau menyesuaikan diri dengan cepat. “Guru-guru senior di sini sentiasa bersedia memberikan bimbingan tanpa jemu kepada guru baharu seperti saya.
“Malah, perkara yang paling menyentuh hati ialah melihat murid-murid luar bandar ini menunjukkan sikap hormat dan semangat yang sangat tinggi untuk menuntut ilmu,” jelas beliau.
Suasana harmoni dan kondusif ini membuktikan bahawa sekolah luar bandar memiliki kekuatan tersendiri. Hubungan erat antara guru, murid dengan komuniti setempat menjadi tunjang utama dalam melahirkan persekitaran sekolah yang positif, sekali gus merapatkan jurang emosi antara guru dengan masyarakat.

MENGGALI POTENSI, MERAPATKAN JURANG
Sebagai guru Bahasa Melayu, Cikgu Siti Najwa melihat bilik darjah sebagai pentas yang penuh dengan keunikan. Beliau percaya setiap murid luar bandar mempunyai permata tersembunyi yang menanti masa untuk diasah, sama ada dalam bidang akademik mahupun kepimpinan.
“Di dalam kelas, saya melihat pelbagai potensi. Ada murid yang sangat petah berbicara, ada yang berbakat besar dalam penulisan kreatif dan tidak kurang juga yang menyerlah dalam aspek kepimpinan.
“Peranan kita bukan sekadar menyampaikan ilmu melalui teks, tetapi membantu mereka mengenali kekuatan diri dan membina keyakinan untuk mengejar cita-cita,” ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan pendidikan berkualiti merupakan agen perubahan sosial yang paling ampuh. Walaupun anak-anak ini datang daripada latar belakang sosioekonomi yang berbeza, mereka berkongsi impian yang sama untuk mengubah nasib keluarga dan membina masa depan yang lebih gemilang.
Oleh itu, usaha memperkasakan pendidikan luar bandar harus terus menjadi agenda utama demi memastikan tiada anak bangsa yang terpinggir daripada arus kemajuan negara.



