PADAWAN: Pihak sekolah harus memperkukuhkan kesedaran dan pencegahan bagi memastikan kes berkaitan gangguan seksual tidak berlaku.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pentadbir sekolah harus memberi pendedahan yang mencukupi kepada guru dan murid agar perkara tersebut tidak berlaku.
Beliau menambah, kedua-dua pihak perlu diberi pendedahan mengenai perkara yang salah dan yang sepatutnya tidak berlaku.
“Kita banyak melihat kes-kes bermacam. Bukan sahaja di negara kita, tapi di negara lain. Ini adalah hal manusia.
“Kita memang tidak mahu ini berlaku. Tetapi ia tetap berlaku. Jadi apa yang kita boleh buat adalah menjadikan sekolah jadi lebih ketat,” katanya ditemu bual selepas merasmikan Program STEM Catalysts 2026 Grand Celebration di SMK Padawan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai guru yang dikaitkan dakwaan salah laku seksual di sebuah sekolah di negeri ini kini ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sehingga proses siasatan selesai.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan tindakan diambil berikutan siasatan sedang dijalankan polis berhubung dakwaan itu yang tular di media sosial.
Katanya, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
Katanya lagi, Unit Integriti Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jemaah Nazir turut menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti setiap aspek berkaitan kes berkenaan.
JPN Sarawak menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku seksual dan akan menyokong tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
“Sesiapa sahaja didapati bersalah perlu dikenakan tindakan tegas,” katanya.

