MUKAH: Cadangan pembinaan Sekolah Rendah Khas untuk pelajar keperluan khas di Mukah disambut baik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.
Menurutnya, cadangan tersebut adalah bagi menampung pertambahan murid berkeperluan khas dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang semakin meningkat.
“Dengan pertambahan jumlah ini, ia menunjukkan keperluan untuk menyediakan fasiliti khusus yang mampu menyokong pembelajaran mereka secara holistik.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh pihak yang berkaitan agar murid-murid tersebut dapat belajar dalam keadaan yang selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Apresiasi Gemilang dan Inspirasi Cemerlang (MAGIC) PPKI Sekolah Kebangsaan (SK) Mukah, di Hotel Kingwood, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, di Mukah, pelajar PPKI ditempatkan di SK Mukah dan kini ia menempatkan lebih 90 orang murid dari peringkat prasekolah hingga Tahun 6.
Melihat kepada situasi ini, ia jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk melakukan penstrukturan semula kemudahan pendidikan khas di kawasan ini.
Menyentuh mengenai MAGIC PPKI SK Mukah, ia merupakan satu inisiatif bagi meraikan pencapaian dan perkembangan murid berkeperluan khas.
Selain itu, ia diadakan untuk menghargai komitmen serta sokongan padu ibu bapa dan komuniti sekolah dalam memastikan kejayaan pendidikan anak-anak mereka.
Dalam pada itu, Royston turut mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 untuk melaksanakan aktiviti tahunan PPKI SK Mukah pada tahun hadapan.




