KUCHING: Seperti malang tiada datang tunggal, begitulah pasrah seorang guru warden yang sekali lagi menerima hukuman berat dengan tambahan penjara 15 tahun dan enam sebatan, selepas didapati bersalah melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Hakim Mahkamah Sesyen Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhkan hukuman demikian selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie kes terhadap tertuduh yang berusia 43 tahun pada akhir pembelaan kes hari ini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan dibacakan bersama Seksyen 14 akta yang sama, kerana melakukan serangan seksual fizikal terhadap pelajar berusia 14 tahun.
Tertuduh didakwa menyentuh kemaluan pelajar tingkatan dua itu di sebuah kediaman warden di tingkat dua asrama lelaki di sebuah sekolah menengah asrama penuh di Kuching, pada pertengahan 2022.
Seramai lima saksi dipanggil daripada pihak pendakwaan dan seorang saksi di pihak pembelaan sepanjang perbicaraan kes.
Pada 3 Oktober 2025, hukuman pertama dikenakan ke atas tertuduh ialah 15 tahun dan 10 sebatan, selepas didapati bersalah untuk pertuduhan yang sama iaitu melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, pada 28 Oktober 2022.
Kemudian, pada 8 Mei lalu, guru berusia 43 itu dijatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan 13 sebatan di Mahkamah Sesyen, selepas didapati bersalah atas kesalahan yang sama terhadap pelajar lelaki yang berbeza berusia 14 tahun, pada Jun 2022.
Menurut fakta kes bagi kesemua kejadian, modus operandi tertuduh dengan mengambil kesempatan terhadap pelajar yang datang ke kediaman warden untuk mendapatkan bantuan kerana sakit.
Kesemua kejadian, mangsa yang datang mengalami demam panas tidur di kediaman warden, sebelum mengambil kesempatan menyentuh kemaluan mangsa untuk tujuan seksual.
Kejadian tersebut sering dilakukan tertuduh sehingga 2023, sekali gus meninggalkan kesan trauma yang mendalam terhadap kesemua mangsa.
Kesemua mangsa memberitahu kejadian tersebut kepada ibu.
Laporan polis dilakukan sekali gus membawa kepada penangkapan tertuduh pada 13 November 2023 di hadapan sebuah balai polis di Jalan Lapangan Terbang, sekitar 2.30 petang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Adriana Maisarah Mohd Farid, manakala tertuduh diwakili dua orang peguam.
Semasa menerima hukuman terbabit, tertuduh hanya tertunduk sambil pasrah dan dilihat menghitung jarinya mengira jumlah hukuman yang dikenakan.

