KUCHING: Sektor agrikomoditi negara kini memasuki fasa transformasi kritikal dengan peralihan ke arah penggunaan teknologi moden, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Beliau berkata sektor itu tidak lagi bergantung sepenuhnya pada tenaga kerja manual, sebaliknya bergerak pantas ke arah aplikasi agroteknologi, automasi dan pendigitalan.
“Pada 2025, sektor ini mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan nilai eksport mencecah RM196.72 bilion, sekali gus membuktikan kepentingannya sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.
“Industri komoditi seperti sawit, getah, koko, lada, kenaf dan perkayuan bukan sahaja menjana pendapatan negara, malah menjadi tulang belakang ekonomi yang menyediakan peluang pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia khususnya di kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap pada Program TVET MyKomoditi di sini, hari ini.
Beliau berkata Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini diangkat sebagai laluan perdana yang menjanjikan jaminan kerjaya stabil, pendapatan kompetitif serta mempunyai prospek masa depan cemerlang.
“Bagi memperkasakan agenda ini, kementerian melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) telah memeterai kerjasama strategik bersama institusi peneraju seperti Sarawak Skills, Sabah Skills and Technology Centre serta Kolej RISDA,” katanya.
Pada majlis itu, Noraini turut menyaksikan pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara IMPAC, institusi TVET dan SD Guthrie, SALCRA Berhad, Genting Plantations serta TH Plantations.
Beliau berkata menerusi inisiatif itu, seramai 300 perantis dalam kalangan anak muda tempatan akan diasah bakat mereka dalam bidang pengkhususan teknikal, iaitu sebagai Pakar Penuaian dan Pakar Mesin. – BERNAMA



