KUCHING: MEASAT Satellite Systems (MEASAT) menggesa kerajaan memberi keutamaan kepada pelaburan Teknologi Angkasa Berdaulat menerusi Belanjawan 2027 bagi memperkukuh kawalan negara terhadap infrastruktur kritikal dan data.
Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata, langkah itu penting untuk meningkatkan daya tahan negara, daya saing ekonomi, serta kemandirian strategik Malaysia.
Katanya, sektor angkasa tanah air telah menjana hasil RM6.2 bilion bagi tempoh 2017 hingga 2024 dan disasarkan melonjak melebihi RM10 bilion menjelang 2030.
“Dengan fasa pelaksanaan Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE2030) bagi tempoh 2027 hingga 2030, Belanjawan 2027 memainkan peranan penting menterjemahkan aspirasi ini kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan kemajuan teknologi.
“MEASAT membangunkan keupayaan ketersambungan satelit berdaulat secara menyeluruh bagi memastikan sistem komunikasi, infrastruktur, dan data kritikal kekal di bawah kawalan Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.
Bagi memperkukuh ekosistem angkasa negara, MEASAT mengemukakan lima keutamaan strategik untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027.
Antaranya termasuklah mengutamakan keupayaan angkasa berdaulat dengan mengiktiraf aset tempatan sebagai keutamaan pelaburan serta perolehan komunikasi kritikal dan keselamatan negara.
Selain itu, MEASAT mencadangkan sokongan pelaburan infrastruktur jangka panjang menerusi rangka kerja yang sejajar dengan kitaran industri angkasa, merancakkan kerjasama awam-swasta (PPP), dan memastikan dasar kekal konsisten.
Syor lain merangkumi percepatan penerapan aplikasi SpaceTech bersepadu seperti pengoperasian satelit GEO, LEO, Internet Benda (IoT), dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi pengurusan bencana, maritim, serta pertanian.
MEASAT turut menekankan pengkomersialan syarikat tempatan menerusi sokongan inovasi buatan tempatan serta pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama akademia bagi melahirkan pakar dalam bidang kejuruteraan dan analisis data.
Chyong Lim menambah, Malaysia kini mempunyai asas kukuh menerusi hak orbit berdaulat, jumlah spektrum, infrastruktur satelit, serta keupayaan kawal selia.
Sempena ulang tahun ke-30 pelancaran MEASAT-1 dan MEASAT-2, pihaknya kekal komited bekerjasama rapat dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan pemain industri bagi memacu agenda angkasa negara melangkaui 2030.



