ARTIKEL

Sektor pelancongan mungkin terima bantuan kewangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SHAH ALAM: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mungkin menyalurkan bantuan berbentuk kewangan kepada pemain industri pelancongan bagi merangsang sektor tersebut supaya tidak terlalu terjejas susulan penularan wabak COVID-19 hampir di seluruh dunia sekarang ini.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata ia susulan sektor pelancongan dilihat mengalami kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan tempahan hotel, pakej pelancongan dan tiket penerbangan yang ketara akibat penurunan kemasukan pelancong ke negara ini.

“Kita sedang menghadapi masalah penurunan kemasukan pelancong hingga mengakibatkan sumber ekonomi juga menurun. Namun, pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan oleh kerajaan kelak akan dimanfaatkan sebaiknya oleh kementerian ini untuk membantu sektor terlibat.

“Setakat ini, apa jenis bantuan yang boleh disalurkan (kepada pemain industri pelancongan), kita sedang teliti. Mungkin melibatkan aspek kewangan. Namun, berapa jumlah yang akan diagihkan, kita akan lihat secara terperinci,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, Mohamaddin dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti oleh Kolej Universiti Lincoln pada majlis konvokesyen institusi itu di Pusat Konvensyen Ideal di sini.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pro Canselor kolej universiti berkenaan, Prof Datuk Dr Bibi Florina Abdullah.

Ditanya sama ada pakej rangsangan ekonomi kerajaan itu mampu mencapai visi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), Mohamaddin berkata kementeriannya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana wabak COVID-19 adalah masalah global.

“Apabila berlakunya masalah global seperti ini, pelancong akan menjadi takut untuk keluar melancong ke negara lain. Jadi, ini mungkin menyebabkan kita tidak menepati sasaran jumlah kemasukan pelancong bagi kempen VM2020,” katanya.

Susulan wabak COVID-19 di China, kerajaan pada 27 Jan lepas memutuskan untuk menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara itu dari Wilayah Hubei, termasuk Bandar Wuhan.

Jumaat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Feb ini, bukanlah Belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar-dasar Belanjawan 2020, tetapi merupakan bantuan kepada industri yang terjejas.  – Bernama

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU