KUCHING: Sektor pembinaan Sarawak dijangka kekal berdaya tahan tanpa berdepan kekurangan serius bahan binaan walaupun kos terus meningkat susulan tekanan daripada ketegangan geopolitik di rantau Teluk.
Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA), Datuk Sim Kiang Chiok berkata, setakat Jun 2026, kos pembinaan di Kuching dan Sarawak menunjukkan tanda-tanda peningkatan susulan ketegangan itu serta kebimbangan terhadap gangguan laluan tenaga dan perkapalan global.
“Bagaimanapun, ketika ini tiada bukti berlaku kekurangan serius bahan binaan, manakala kebanyakan projek masih diteruskan mengikut jadual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, bagi sektor pembangunan swasta di Sarawak, pasaran kekal aktif meskipun berdepan kos pembinaan yang lebih tinggi.
“Maklum balas industri menunjukkan pemaju mengalami kenaikan kos diesel, pengangkutan, keluli, simen dan bahan binaan import.
“Namun, rantaian bekalan tempatan secara umumnya masih tidak terjejas dan tiada kekurangan meluas dilaporkan membabitkan simen, besi tetulang, agregat atau konkrit siap bancuh di Sarawak,” jelasnya.
Beliau menambah, kebimbangan yang lebih segera ketika ini adalah peningkatan kos input secara beransur-ansur, bukannya ketersediaan bahan binaan.
Mengulas lanjut, katanya, bagi pemaju swasta di Kuching, margin keuntungan mungkin menerima tekanan sekiranya harga bahan terus meningkat.
“Namun, petunjuk semasa menunjukkan keadaan ini masih jauh berbeza daripada gangguan bekalan serius yang pernah dialami semasa tempoh COVID-19,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan jika konflik di rantau Teluk tidak menjejaskan bekalan bahan api global untuk tempoh yang panjang, sektor pembinaan Sarawak dijangka kekal berdaya tahan dengan peningkatan kos yang sederhana, bukannya krisis bekalan secara menyeluruh.
Melihat ke hadapan, beliau mendedahkan terdapat sebab untuk bersikap optimis secara berhati-hati susulan Memorandum Persefahaman (MoU) terbaharu yang dimeterai antara Amerika Syarikat dengan Iran telah membantu meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga global.
“Selain itu, MoU ini membuka laluan kepada pembukaan semula Selat Hormuz, iaitu laluan kritikal bagi kira-kira satu per lima perdagangan minyak dan gas asli cecair dunia.
“Susulan pengumuman itu, harga minyak global turun dengan ketara, dengan minyak mentah Brent dan WTI jatuh ke paras terendah dalam beberapa bulan apabila pasaran menjangkakan prospek keadaan bekalan yang lebih baik,” katanya.
Beliau menambah, bagi sektor pembinaan dan pembangunan hartanah Sarawak, penurunan harga minyak dan bahan fuel boleh mengurangkan kos pengangkutan, logistik serta pembuatan secara beransur-ansur.
“Ini khususnya yang berkaitan dengan simen, keluli, agregat dan bahan binaan lain,” kongsinya.
Ujarnya, walaupun manfaat itu mungkin mengambil masa beberapa melainkan dirasai dalam rantaian bekalan, pemaju dan kontraktor berharap tekanan harga yang dialami semasa konflik Teluk baru-baru ini akan berkurangan pada separuh kedua 2026.
“Bagaimanapun, pemain industri kekal berwaspada memandangkan perjanjian damai itu masih berada pada peringkat sementara, dan sebarang gangguan baharu terhadap pasaran tenaga global sekali lagi boleh memberi kesan kepada kos pembinaan,” tegasnya.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan projek infrastruktur awam yang sedang berjalan akan diteruskan mengikut jadual tanpa sebarang penangguhan kerana kerajaan masih mampu menyerap kenaikan kos bahan binaan.
Walaupun konflik geopolitik di rantau Teluk memberi kesan kepada rantaian bekalan global dan mendorong kenaikan harga bahan, ekonomi negara masih belum mengalami gangguan yang serius atau kritikal.
Kementerian Kerja Raya bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah merangka serta membentangkan kertas strategi jangka segera, sederhana dan panjang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi mengurangkan kesan keadaan tersebut.

