ARTIKEL

Sektor pengangkutan perlu cakna subsidi diesel

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Satu sesi libat urus khusus perlu dilaksanakan bagi memberikan penjelasan terperinci kepada orang ramai mengenai pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sesi ini perlu melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) dan pemain industri pengangkutan di negeri ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin menyatakan, langkah itu penting kerana masih ramai pengusaha pengangkutan, syarikat logistik serta komuniti perniagaan yang masih keliru tentang pelaksanaan sistem itu.

“Antara isu yang sering dibangkitkan termasuk syarat kelayakan, proses permohonan, mekanisme pembelian diesel bersubsidi serta impak pelaksanaan terhadap operasi harian industri.

“Penjelasan yang lebih menyeluruh perlu diberikan supaya semua pihak benar-benar memahami pelaksanaan SKDS dan tidak timbul salah faham yang boleh menjejaskan operasi sektor pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) daripada pegawai KPDN serta Kementerian Kewangan (MOF) di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur.

Kim Shin menegaskan, sesi libat urus bersama industri amat penting bagi memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar serta mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri.

“Komunikasi berterusan antara agensi pelaksana dan industri perlu diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini tidak mengganggu operasi harian,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan SKDS perlu mengambil kira keadaan geografi Sarawak serta cabaran logistik yang berbeza berbanding Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, Kementerian Pengangkutan Sarawak akan terus bekerjasama dengan kementerian serta agensi Persekutuan bagi menyalurkan maklum balas industri dan memperbaiki pelaksanaan dasar tersebut.

Beliau turut menasihatkan pengusaha dan orang awam supaya mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi bagi mengelakkan kekeliruan.

“Saya menggalakkan semua pihak merujuk saluran rasmi bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.

“Matlamat utama kerajaan adalah memastikan pelaksanaan SKDS berjalan lancar tanpa menjejaskan sektor pengangkutan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan agar menghubungi semua cawangan Pejabat KPDN atau menerusi e-mel mysubsidi@kpdn.gov.my serta talian SKDS di 082-537700 atau 082-537713 semasa waktu pejabat.

BERITA LAIN

Teknologi dan skala perniagaan kunci kenaikan gaji pekerja

KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi dan peningkatan skala perniagaan mampu memperkukuh produktiviti serta keupayaan syarikat untuk mengembalikan hasil pertumbuhan kepada pekerja menerusi kenaikan gaji. Menteri Ekonomi,

BERITA TERBARU