BINTULU: Sektor pertanian Sarawak perlu beralih daripada pendekatan tradisional kepada ekosistem ekonomi moden yang merangkumi pengeluaran, pemprosesan, teknologi, pemasaran dan eksport bagi meningkatkan produktiviti serta pendapatan pengusaha, selain membuka peluang baharu kepada generasi muda dan masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata transformasi itu penting bagi memanfaatkan sepenuhnya kelebihan Sarawak yang mempunyai tanah luas, kepelbagaian sumber semula jadi dan kekayaan biodiversiti.
Beliau berkata sektor pertanian tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai aktiviti menghasilkan makanan, sebaliknya perlu berkembang sebagai satu ekosistem ekonomi yang menghubungkan pengeluaran dengan pemprosesan, teknologi, logistik, pemasaran, eksport dan pembangunan produk bernilai tinggi.
“Cabaran kita pada masa kini menuntut kita bergerak lebih jauh,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan Sarawak Agrofest 2026 di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu pada Ahad.
Abdul Rahman berkata usaha meningkatkan produktiviti perlu disokong dengan penggunaan teknologi dan mekanisasi yang lebih meluas, di samping memperkasa agropreneur serta menyediakan lebih banyak peluang kepada generasi baharu untuk menjadikan sektor pertanian sebagai kerjaya dan perniagaan yang berdaya maju.
Menurutnya, hasil keluaran tempatan juga perlu diproses dan diberikan nilai tambah supaya tidak terhenti di peringkat bahan mentah, sekali gus membolehkan pengusaha meningkatkan pendapatan dan menembusi pasaran yang lebih luas.
Tambahnya lagi, pembangunan rantaian nilai yang kukuh juga penting bagi memastikan manfaat sektor pertanian dapat dikongsi secara lebih menyeluruh, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar yang terbabit secara langsung dalam aktiviti pertanian.
“Kerajaan boleh menyediakan dasar dan sokongan, tetapi kejayaan sebenar sektor pertanian bergantung kepada kerjasama semua pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru petani, penternak, nelayan dan agropreneur supaya terus berani meneroka pendekatan baharu, meningkatkan kualiti produk serta memanfaatkan teknologi bagi memperkukuh daya saing dan produktiviti.
Pada masa sama, Abdul Rahman berkata golongan belia mempunyai ruang yang luas untuk menceburi sektor pertanian menerusi penggunaan teknologi digital, automasi, kecerdasan buatan, pertanian pintar dan inovasi.
Jelasnya, perkembangan teknologi menjadikan sektor pertanian lebih dinamik dan menawarkan peluang baharu kepada generasi muda untuk membina kerjaya serta perniagaan tanpa bergantung sepenuhnya kepada kaedah tradisional.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan Sarawak Agrofest tidak seharusnya berakhir selepas acara itu ditutup, sebaliknya jaringan yang terbentuk, ilmu yang dikongsikan dan peluang perniagaan yang tercetus perlu diteruskan.
“Marilah kita terus memperkukuh kerjasama dan memastikan sokongan yang diberikan benar-benar sampai kepada golongan sasar,” katanya.
Abdul Rahman berkata semua usaha berkenaan diharap menjadikan Sarawak Agrofest sebagai pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian yang lebih moden, produktif, inklusif dan berdaya saing.



