KUCHING: Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Sarawak 2026–2030 akan memberi fokus utama kepada pemerkasaan sektor swasta sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri, seiring aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai ekonomi maju, hijau dan inklusif menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sektor swasta merupakan rakan strategik terpenting kerajaan dalam menjana pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
“Sektor swasta ialah enjin utama pertumbuhan. Di bawah RMK13, kita akan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif agar pelabur tempatan dan asing terus yakin untuk melabur di Sarawak terutama dalam projek strategik berimpak tinggi,” katanya ketika melancarkan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) sempena Persidangan Ekonomi Sarawak 2025 di sini, semalam.
Menurutnya, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama awam-swasta (PPP) dan menambah baik dasar pelaburan untuk memastikan pelaksanaan projek lebih cekap serta memberikan hasil nyata kepada rakyat.
Abang Johari menambah, pendekatan itu sejajar dengan visi Sarawak untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, perkhidmatan moden, pertanian pintar dan industri hijau.
“Kita mahu pelaburan yang membawa teknologi, inovasi dan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat. Pelabur bukan sekadar penyumbang modal, tetapi rakan pembangunan dalam transformasi ekonomi negeri,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan keseimbangan antara kerajaan sebagai peneraju dasar dan sektor swasta sebagai penggerak inovasi serta pelaksanaan di lapangan.
“Kerajaan memberi hala tuju dan visi, sektor swasta memacu pelaksanaan dan inovasi. Inilah model baharu pembangunan Sarawak di bawah RMK13 berpaksikan kolaborasi, ketelusan dan nilai tambah sebenar kepada ekonomi negeri,” jelasnya.
RMK13 Sarawak yang berteraskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 turut menumpukan pelaburan hijau, transformasi digital dan keusahawanan tempatan sebagai enjin pertumbuhan baharu menuju status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.






