KUCHING: Penggunaan media sosial dalam kalangan guru di sekolah amat digalakkan selagi ia tidak melanggar garis panduan ditetapkan oleh Pejabat Pendidikan Negeri (PPN).
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak menghalang guru menggunakan media sosial, tetapi perlu digunakan secara betul.
“Setiap bulan kita mengeluarkan maklumat berkaitan integriti kepada guru dan salah satu topik yang sering ditekankan ialah penggunaan media sosial secara berhemah dan sederhana.
“Bagi saya, tiada masalah guru menggunakan media sosial kerana ia adalah hak mereka, jadi ia terpulang kepada mereka menggunakannya untuk kehidupan peribadi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui Suara Sarawak di pejabatnya di Jabatan Pendidikan Negeri, hari ini.
Beliau mendedahkan terdapat guru yang menggunakan media sosial untuk memudahkan proses pembelajaran dalam kalangan pelajar mereka.
Dr Azhar memberitahu di peringkat KPM mempunyai anugerah khas yang dinamakan Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi (DUTA) yang mengiktiraf sekolah dan guru yang menggunakan teknologi digital dalam pendidikan.
“Sarawak berada pad kedudukan ketiga terbaik dalam anugerah DUTA ini, daripada ini kita boleh melihat bahawa guru dan pelajar sangat aktif menggunakan media sosial untuk tujuan pembelajaran,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menegaskan pembangunan sumber manusia adalah amat penting dalam memastikan profesionalisme dan kebolehan guru ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Sarawak merupakan negeri yang besar dan agak sukar kami di PPN sentiasa turun padang melihat perkara yang berlaku di seluruh kawasan.
“Oleh itu, saya percaya kita harus menggunakan kelebihan dan sumber yang ada untuk membangunkan para guru, memberi kuasa kepada mereka dan menyediakan sokongan agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih baik,” jelasnya.
