ARTIKEL

Presiden Persatuan Industri Fotovolta dan Tenaga Lestari Malaysia (MPSEA) Justim Sim (dua, kanan) menyampaikan cenderamata kepada Malcolm, yang mewakili Awang Tengah pada acara berkenaan.

SelectSarawak bakal mudahkan proses kelulusan pelaburan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang membangunkan ‘SelectSarawak’, satu platform pengurusan pelaburan bersepadu yang bertujuan menyelaras proses pelaburan dan kelulusan di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata platform berkenaan akan memudahkan proses kelulusan pelaburan secara berpusat melalui kementeriannya, manakala pengurusannya akan dikendalikan oleh InvestSarawak.

Beliau berkata SelectSarawak dibangunkan bagi memastikan pelabur menikmati ekosistem Sarawak yang lebih terselaras, tanpa perlu berurusan dengan sistem berasingan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

“Pelabur mengharapkan kerajaan menyediakan kejelasan, penyelarasan, kepantasan dan keyakinan bahawa projek boleh dilaksanakan daripada peringkat konsep hingga pelaksanaan.

“Oleh itu, kami sedang berusaha menambah baik keseluruhan perjalanan pelaburan, daripada hubungan awal dan pemilihan tapak, proses kelulusan serta penyediaan infrastruktur, hingga pelaksanaan projek,” katanya dalam ucapan sempena R.A.C.E To ZERO Kuching Edition di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.

Awang Tengah berkata InvestSarawak berperanan sebagai agensi pusat negeri bagi memudah cara pelaburan serta Pusat Sehenti untuk pelabur, manakala kementeriannya turut memuktamadkan Dasar Pelaburan Sarawak yang komprehensif.

Jelas Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu, dasar berkenaan akan memberikan kejelasan lebih besar mengenai hala tuju strategik dan kerangka institusi Sarawak, meningkatkan keyakinan pelabur serta menyokong proses membuat keputusan yang lebih pantas.

“Matlamat kami mudah iaitu memudahkan pelabur bergerak daripada peringkat konsep kepada pelaksanaan,” ujarnya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata asas ekonomi Sarawak terus menarik pelabur apabila negeri itu merekodkan kira-kira RM116.8 bilion pelaburan yang diluluskan antara 2021 dan 2025.

Beliau berkata pelaburan berkenaan mewujudkan lebih 28,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan sektor primer.

Beliau turut menyatakan pengembangan berterusan syarikat multinasional yang telah bertapak di Sarawak, termasuk X-FAB, OCI Tokuyama Semiconductor Materials dan Western Digital, yang disifatkannya sebagai bukti keyakinan berterusan pelabur terhadap negeri itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keutamaan Sarawak selepas ini bukan sekadar menarik lebih banyak pelaburan, tetapi mendapatkan pelaburan berkualiti dan strategik.

Katanya, pelaburan sedemikian perlu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan bernilai tinggi, memperkenalkan teknologi serta kepakaran baharu, memperkukuh pembekal dan vendor tempatan, mewujudkan peluang kepada syarikat Sarawak, memudah cara pemindahan teknologi dan pengetahuan serta menghubungkan negeri itu dengan rantaian nilai serantau dan global.

“Ini amat penting ketika kita bergerak lebih jauh dalam sektor pembuatan termaju, semikonduktor, infrastruktur digital dan sektor berasaskan teknologi yang lain.

“Kualiti pelaburan akan menentukan kualiti transformasi ekonomi kita,” dedahnya.

Awang Tengah berkata objektif Sarawak adalah untuk membina ekonomi yang lebih maju, berdaya tahan dan mempunyai integrasi lebih kukuh dalam rantaian nilai global.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

BERITA TERBARU

Taman Kenyalang ngеna konsep moden

KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng nerima penuemai basa ari diligit Chung Yuan Christian University (CYCU), Taoyuan, Taiwan, ti bejuraika asil tungkap