KUCHING: Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen menggesa pihak Majlis Perbandaran Padawan (MPP) untuk bertindak segera menyelesaikan isu berkaitan struktur rumah kedai di Lorong Datuk Tawi Sli 4, Batu 3 1/2 di sini.
Chong berkata, rumah kedai yang terdiri daripada 11 unit rumah itu dibina dalam satu baris.
“Memandangkan terdapat keretakan pada rasuk, tiang dan dinding beberapa rumah kedai itu, tidak semua pemilik bersedia untuk menjalankan pemeriksaan terhadap keutuhan strukturnya.
“Pada November 2022, mereka telah menulis surat kepada MPP untuk meminta pengeluaran notis di bawah undang-undang supaya semua pemilik terjejas bertindak bagi memastikan keselamatan unit mereka,” menurutnya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, selepas mengadakan perbincangan dalam kalangan pemilik pada Disember 2023, seorang jurutera swasta telah melaksanakan penilaian integriti bangunan ke atas sembilan daripada 11 unit tersebut.
Ujarnya, dalam tempoh sebulan, jurutera tersebut berjaya menyiapkan Laporan Integriti Bangunan dan beliau dikehendaki mengambil sedikit masa bagi meneliti laporan tersebut bersama kesemua sembilan pemilik rumah kedai tersebut.
Pada 16 Februari lalu, jurutera itu telah menyerahkan laporan tersebut kepada MPP dan beberapa perkara telah disyorkan.
“Antaranya ialah, tiga unit rumah kedai memerlukan pengukuhan semula, pengukuhan rasuk, tiang dan pembinaan semula beberapa papak lantai.
“Dua unit rumah kedai tersebut hanya memerlukan sedikit pembaikan manakala empat unit lagi tidak selamat untuk diduduki dan perlu dirobohkan serta dibina semula bermula daripada asas.
“Kini, masih menunggu keputusan dan maklum balas daripada pihak MPP,” jelasnya.
Sehubungan itu, Chong turut memberi maklum balas mengenai perkara ini dan baginya, empat unit rumah kedai yang tidak selamat diduduki mengambil masa terlalu lama untuk MPP bertindak.
“Dua bulan setengah adalah masa yang terlalu lama bagi mana-mana pihak berkuasa untuk mengesahkan laporan yang boleh disediakan dalam masa sebulan, dan ini menunjukkan MPP tidak mendesak perkara ini.
“Kemudian, memandangkan MPP merujuk perkara ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam semua keadaan, mengapa tidak mendapatkan JKR untuk menyediakan Laporan Integriti Bangunan terlebih dahulu bagi menjimatkan masa dan kos?
“Kerja berganda sebegini telah menyebabkan banyak kelewatan untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya lagi.
“Pemilik tiada niat untuk bertanya dan meminta MPP membayar bagi pembinaan semula atau pembaikan rumah kedai mereka.
“Mereka memahami sepenuhnya bahawa ia adalah harta persendirian, dan melainkan MPP yang menyebabkan kerosakan itu, mereka perlu mengeluarkan wang sendiri bagi kerja pembaikan atau pembinaan semula.
“Setakat ini, pemilik rumah kedai hanya meminta notis dikeluarkan untuk mewajibkan pemilik melakukan perkara sepatutnya bagi memastikan keselamatan bangunan,” tambahnya.






