SRI AMAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman diminta agar menyelesaikan segera 1,206 kerosakan yang terdapat pada bangunan Hospital Sri Aman.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, berhubung masalah yang dialami, cadangan bagi JKR untuk melantik pihak ketiga bagi menyelesaikan kerosakan tersebut adalah wajar.
“Saya mencadangkan agar JKR melantik pihak ketiga untuk membaiki kerosakan yang menyebabkan hospital itu tidak berfungsi dengan cekap.
“Semasa melakukan pemeriksaan, saya mendapati bahawa satu kerosakan yang ketara adalah siling di unit farmasi, yang menyebabkan sekelilingnya menjadi lembap, dan saya juga mendapati wad-wad tidak beroperasi akibat kerosakan siling yang disebabkan oleh keadaan lembap.

“Setakat ini, kami melihat hampir 1,200 kerosakan di dalam premis ini, namun kerosakan ini tidak menjejaskan pengoperasian hospital kerana hanya melibatkan siling, dan juga sistem perpaipan sedia ada,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sri Aman di sini hari ini.
Di samping itu, beliau turut mendedahkan bahawa aduan diterima daripada beberapa pesakit yang memerlukan khidmat dialisis, namun ia bukanlah berkaitan dengan hospital itu sendiri tetapi lebih kepada kesejahteraan pesakit.
Justeru katanya, beliau akan berusaha bagi mempertingkatkan operasi pusat dialisis di sini, mungkin dengan memaksimumkan penggunaan blok lama Hospital Sri Aman yang memerlukan peruntukan yang agak besar bagi membaik pulihnya.

