KUCHING: Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) disarankan untuk melaksanakan penyelidikan bagi menyelesaikan masalah dan mengukuhkan pembinaan jalan di kawasan tanah gambut di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau mahu kertas kerja yang mencadangkan penggunaan bahan getah sebagai sebahagian komponen untuk mengukuhkan pembinaan jalan khususnya di kawasan tanah gambut dipandang serius.
Abang Johari yang juga Pengerusi SRDC berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC yang disertai 200 peserta dari universiti, agensi penyelidikan dan sektor swasta yang berpangkalan di Sarawak, di sini, hari ini.
“Saya melihat ada kertas kerja yang mencadangkan penggunaan getah sebagai sebahagian daripada bahan untuk mengukuhkan pembinaan jalan di atas tanah gambut.
“Saya mencadangkan agar pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) memandang serius cadangan ini dengan membina sebuah jalan di tanah gambut sebagai sebahagian daripada penyelidikan tersebut,” katanya.
Menurut Abang Johari, kerajaan akan mengeluarkan dana untuk tujuan pembinaan jalan daripada teknologi penyelidikan dan kajian tersebut bagi melihat keberkesanannya.
“Penyelidikan percubaan membina jalan itu boleh dilaksanakan di kawasan seperti Sibu dan Mukah, saya akan mengenal pasti satu jalan yang sesuai kerana negeri ini amat memerlukan rangkaian jalan raya yang baik,” ujarnya.
Katanya, jika kaedah itu membuahkan hasil, ia sekali gus mampu membantu mengubah keseluruhan landskap pembinaan jalan di negeri ini yang sebahagian besar kawasannya terdiri daripada tanah gambut, terutamanya di Wilayah Tengah.


