SIBU: Membaca buku secara fizikal perlu dipromosikan bagi menyemai minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.
Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai, berkata dalam era moden ini, membaca buku elektronik (e-buku) adalah lebih mudah kerana ia boleh didapati dalam talian melalui telefon bimbit dan komputer.

“Membaca e-buku menjadi cara yang berbeza untuk membaca, tetapi membaca buku dalam bentuk fizikal juga menarik dan bermanfaat seperti apa kita lakukan pada zaman dahulu,” katanya ketika merasmikan Pesta Buku Big Bad Wolf di sini semalam.
Sempurai turut mengimbau zaman persekolahannya dan kemudian di universiti di mana beliau membaca buku fizikal untuk menimba ilmu.
“Apabila anda membaca buku dari peranti anda, anda perlu memaksa diri anda untuk membaca, tetapi membaca buku fizikal adalah lebih selesa untuk mata anda,” tegasnya.
Pesta buku berkenaan diadakan di Perpustakaan Awam MDLBS oleh Big Bad Wolf yang mempunyai koleksi 100,000 buku.
Menurut Sempurai, ia dapat membantu mendorong kanak-kanak untuk membaca kerana pesta buku sedemikian tidak banyak dianjurkan pada masa kini.
“Kita jarang mengadakan pesta buku seperti ini yang boleh membantu melahirkan pembaca dalam kalangan generasi baharu.
“Dalam usaha kita untuk menggalakkan pembacaan, selain perpustakaan kami di sini, kami juga mempunyai perpustakaan desa.
“Kami juga memberikan buku kepada rumah panjang,” katanya.
Pengarah Pembangunan Perniagaan Kanan Big Bad Wolf Book, Jeremy Ooi, berkata pesta buku itu adalah yang pertama seumpamanya untuk menarik minat membaca dalam kalangan masyarakat.
Setiausaha MDLBS, Ng Siang Wei, antara tetamu jemputan yang hadir pada pesta itu.

