KUCHING: Penyertaan golongan muda dalam dewan perniagaan menjadi kunci kepada kesinambungan kepimpinan dan pembangunan ekonomi bumiputera di Sabah dan Sarawak, kata Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI), Datuk Ladislaus Maluda.
Beliau berkata, Sambutan Gawai-Kaamatan yang pertama kali dianjurkan pada 2007 pada awalnya diadakan secara sederhana dengan aktiviti yang lebih tertumpu kepada pertemuan santai seperti permainan golf dan sambutan tidak formal.
“Sambutan ini berkembang dengan begitu pesat. Hari ini, jika dibandingkan dengan dahulu, kita mengadakan forum perniagaan yang banyak memberi tumpuan kepada usahawan muda dan golongan belia.
“Ini merupakan petanda yang amat baik untuk masa hadapan kedua-dua dewan perniagaan kerana semakin ramai graduan dan usahawan muda berminat untuk menyertai Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan KCCI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Gawai-Kaamatan Bersama DCCI dan KCCI ke-17 di Kompleks UNIFOR di sini, malam tadi.
Tambahnya, keadaan yang sama turut berlaku di Sabah apabila keahlian KCCI dipenuhi oleh golongan muda.
“Melihat kepada diri saya sendiri, mungkin saya masih mempunyai beberapa tahun lagi untuk berkhidmat. Namun selepas itu, sudah tiba masanya untuk kita memberi laluan kepada generasi muda mengambil alih dan meneruskan kepimpinan kedua-dua dewan perniagaan ini,” ujarnya.


