KUCHING: Sembilan kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 150 dan ke atas setakat pukul 7.00 pagi tadi dengan Kanowit mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 216 pada tahap sangat tidak sihat.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak yang direkodkan pada waktu berkenaan, Lubok Antu mencatatkan bacaan kedua tertinggi iaitu 184, diikuti Serian (180), Kuching dan Samarahan masing-masing 168, Sri Aman (165), Betong (157), Tebedu (153) dan Belaga (152).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Sementara itu, Lundu turut merekodkan bacaan 105, manakala Bintulu (98), Kapit (96), Sarikei (96), Sibu (93), Mukah (85) dan Samalaju (83) berada pada tahap sederhana.
Miri pula mencatatkan bacaan 72, diikuti Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (67), Lawas (66) dan Limbang (64), yang turut berada pada tahap sederhana, manakala Bario merekodkan bacaan terendah iaitu 25 pada tahap baik.
Keadaan jerebu ketika ini berlaku susulan cuaca kering yang berterusan di sebahagian rantau selatan ASEAN.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS), berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 23 September 2026, sebanyak 792 titik panas dikesan di Kalimantan dan 75 di Sumatera, manakala tiada titik panas dikesan di Malaysia dan Sarawak.
ASMC turut melaporkan jerebu asap rentas sempadan sederhana meliputi bahagian barat laut Borneo, dengan kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di beberapa kawasan di Kalimantan serta bahagian selatan Sumatera.
Dalam pada itu, JAS terus meningkatkan pemantauan terhadap risiko kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah yang terdedah kepada kebakaran ketika cuaca panas dan kering.
JAS turut memantau aktiviti pembakaran terbuka serta kejadian kebakaran yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara, selain meningkatkan pemeriksaan dan rondaan di kawasan berisiko termasuk kawasan pertanian, tanah gambut, ladang dan tapak pelupusan sampah.
Menurut JAS, tindakan susulan akan diambil sekiranya kesalahan dikenal pasti berdasarkan hasil pemeriksaan, siasatan dan bukti yang diperoleh di lapangan.
Pemantauan bacaan IPU, titik panas dan perkembangan jerebu rentas sempadan turut diteruskan dengan mengambil kira maklumat meteorologi.
“Tindakan berkenaan dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), termasuk pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh NADMA apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam,” jelas kenyataan itu.
“PTJK turut menetapkan penghentian aktiviti luar bilik darjah apabila IPU melebihi 100, penutupan sekolah, tadika dan taska apabila IPU melebihi 200 serta pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam,” katanya.
JAS turut mengingatkan pihak industri supaya mengurangkan pelepasan udara daripada punca utama, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300, manakala orang ramai diseru supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering.
Menurut JAS, kesalahan pembakaran terbuka di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.
“Orang ramai diminta melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS menerusi talian bebas tol 1-800-88-2727,” menurut kenyataan itu.
“Bacaan IPU terkini yang dikemas kini setiap jam boleh disemak melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) JAS, aplikasi rasmi MyJAS EQMS serta saluran rasmi JAS,” jelasnya.
“Orang ramai turut dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi JAS dan mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata kenyataan itu.

