ARTIKEL

Datuk Ding Kuong Hiing ketika menyampaikan ucapan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini. | Foto: UKAS

Sembilan projek infrastruktur dirancang di Meradong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak sembilan projek pembangunan infrastruktur utama dan kemudahan awam akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.

ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek berkenaan kini berada pada peringkat reka bentuk dan tender.

Katanya, apabila dilaksanakan kelak, projek itu dapat memperkukuh infrastruktur Meradong, menambah baik kemudahan awam serta mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi.

“Antara projek berkenaan ialah pembinaan Kolam Renang Bintangor, Pusat Hemodialisis di Sungai Tulai dan Dewan Bandar Bintangor, selain pembangunan Tebingan Sungai Bintangor.

“Ia juga merangkumi pembinaan jambatan konkrit bertetulang yang menghubungkan Jalan Muhibah dengan Kampung Rancak, pembangunan Anjung Usahawan Meradong serta naik taraf paip bekalan air ke Bandar Bintangor dan Sungai Mador, pembinaan jalan alternatif yang menghubungkan Jalan Kilang dengan Jalan Genting serta naik taraf Taman Rekreasi Bintangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) 2026 pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Katanya, projek tersebut bukan sekadar pembangunan infrastruktur fizikal, malah pelaburan untuk kesejahteraan rakyat, kemakmuran ekonomi tempatan dan potensi pembangunan jangka panjang Meradong.

“Kita berharap inisiatif ini dapat bergerak ke peringkat pelaksanaan dan akhirnya memberikan manfaat nyata kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), terdapat beberapa cadangan pembangunan penting yang dijangka meningkatkan jaringan perhubungan, peluang perumahan dan prospek ekonomi Meradong.

Menurutnya, antara projek utama yang dicadangkan ialah 55 unit Rumah Spektra Permata, Jalan Batang Kedua (Second Trunk Road), Jalan Pasi–Bintangor dan Jalan Pasi–Pan Borneo.

“Projek-projek yang dicadangkan ini penting bagi membentuk fasa pembangunan Meradong yang seterusnya.

“Jalan raya yang lebih baik memudahkan perjalanan, meningkatkan kecekapan pengangkutan hasil pertanian, menambah baik akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan serta membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan dan pelabur,” jelasnya.

Beliau berkata, pada masa yang sama, inisiatif perumahan mampu milik akan membantu keluarga yang layak mendapatkan kediaman lebih baik dan membina asas yang kukuh untuk masa hadapan.

“Secara keseluruhannya, projek-projek ini berupaya menjadikan Meradong sebuah kawasan yang lebih terhubung, berdaya tahan dan makmur,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU