Kantoi sembunyi dadah di belakang rumah

SERIAN: Taktik menyembunyikan dadah di belakang rumah gagal menyelamatkan seorang tokan dadah setelah dikesan polis.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, suspek yang berusia 37 tahun itu telah ditahan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kakai, di sini.

Katanya serbuan dilakukan oleh anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian sekitar jam 6.15 petang Rabu lalu.

“Pasukan serbuan telah membuat pemeriksaan di bahagian belakang rumah dan menjumpai dadah jenis syabu seberat 7.46 gram dianggarkan bernilai RM1,000 yang disimpan di dalam satu bekas tin minyak rambut. “Hasil soal siasat awal, kesemua dadah yang dirampas akan diedarkan kepada penagih-penagih dadah di sekitar kawasan Serian,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.

Aswandy berkata suspek kemudian dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, beliau berkata ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif daripada kesan dadah. Katanya suspek telah direman selama empat hari dan ditahan di Balai Polis Serian sehingga siasatan ke atasnya selesai. Aswandy menambah suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara dua hingga lima tahun dan tiga hingga sembilan kali sebatan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Justeru, Aswandy berharap agar masyarakat dapat memberi kerjasama dengan polis dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan gejala penyalahgunaan dadah di bahagian ini.

Beliau juga mengingatkan agar masyarakat di Serian sentiasa peka terhadap masalah dadah yang berlaku di kawasan masing-masing.