KUCHING: Lebih 500 peserta dijangka menghadiri Seminar Antarabangsa Kemanusiaan dan Krisis Perubahan Iklim: Perspektif Multidimensi sempena ulang tahun ke-70 Majlis Islam Sarawak (MIS) di Dewan Kompleks MIS pada 29 dan 30 Julai ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata jumlah itu terdiri daripada peserta institusi pengajian tinggi dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung yang dijemput berdasarkan kapasiti dewan.
“Sementara peserta dari luar negara merupakan penceramah bagi seminar itu kelak.
“Antara negara terlibat adalah Australia; kita juga akan ada seorang penceramah dari Beijing, China, manakala selebihnya merupakan pensyarah dari universiti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media mengenai program berkenaan di Kompleks MIS, hari ini.
Abdul Rahman menambah, seminar tersebut akan dirasmikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut akan menyampaikan ucaptamanya.
Menurutnya, seminar anjuran MIS itu turut mendapat kerjasama daripada Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty).
Beliau turut menegaskan bahawa seminar tersebut bertujuan memahami interaksi manusia dan alam sekitar dalam konteks krisis iklim global.
Selain itu, seminar akan mengupas nilai dan etika berdasarkan perspektif Islam dalam menangani cabaran alam sekitar, di samping merumuskan cadangan penyelesaian praktikal dan menyeluruh melalui pendekatan inklusif.
Tambahnya, seminar itu turut memberi penekanan khusus terhadap teknologi hijau dan tadbir urus alam sekitar.
Turut diadakan nanti ialah majlis pelancaran buku melibatkan penerbitan terkini IKIM dan MIS, disusuli pameran bertemakan pelbagai inisiatif kelestarian.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rahman percaya seminar ini berpotensi menjadi platform jalinan rangkaian antara delegasi tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi penyelidikan terkini dalam kalangan ahli akademik, wakil kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


