Semua gred jalan persekutuan sama

KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) menjelaskan gred jalan raya bagi pembinaan jalan persekutuan seluruh negara adalah sama.

Ini bagi memastikan rakyat Sarawak menikmati pembangunan yang sama seperti negeri lain, projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sedang dinaik taraf dan ia antara jalan persekutuan.

Menurut kenyataan media KKR semalam, ia selari dengan keperluan lalu lintas semasa yang mematuhi kapasiti peraturan muatan berat seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya dan agensinya menyedari keperluan naik taraf jalan raya di Sarawak.

“Sehubungan itu, pelbagai usaha dilaksanakan ke arah pembangunan infrastruktur jalan raya di negeri ini,” katanya kenyataan tersebut.

Menurutnya, projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dimaklumkan pada 20 Februari lalu akan diuruskan oleh KKR di mana JKR Sarawak sebagai Penguasa (SO) dan Wakil Pegawai Penguasa (SOR) sementara dan JKR Malaysia selaku Jurutera Perunding Bebas (ICE).

“ICE bertindak menjadi penasihat kepada KKR dan JKR Sarawak bagi memastikan pematuhan spesifikasi dan memenuhi kriteria audit berkala,” ujarnya.

“Kerajaan Persekutuan khususnya KKR tidak memotong mana-mana peruntukan untuk tujuan pengurangan kos projek infrastruktur di Sarawak,” tegasnya.

Berdasarkan Bajet 2020, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan kepada Sarawak seperti perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.4 bilion; projek air bersih luar bandar sebanyak RM115 juta; projek bekalan elektrik luar bandar sebanyak RM 285.60 juta; jalan raya yang menghubungkan kawasan luar bandar dengan kos sebanyak RM224.40 juta.

Kerajaan Persekutu juga menyalurkan geran khas sebanyak RM32 juta iaitu peningkatan RM64 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara usaha lain untuk menyediakan jaringan jalan raya di negeri ini ialah pelaksanaan projek jajaran Sarawak-SabahLink Road (SSLR) sepanjang 425 km yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tanpa melalui negara Brunei.

Suara Sarawak